PLUS komited memajukan kelestarian melalui komitmen mencapai sasaran Net Zero menjelang 2050. FOTO Ihsan Plus
PLUS komited memajukan kelestarian melalui komitmen mencapai sasaran Net Zero menjelang 2050. FOTO Ihsan Plus
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Selaras sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia, pengendali lebuh raya utama negara, Plus Malaysia Berhad (Plus) komited memajukan kelestarian melalui komitmen untuk mencapai sasaran Net Zero menjelang 2050.

Usaha itu selaras aspirasi negara termasuk komitmen jangka masa pendek untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dalam ekosistem operasi lebuh rayanya sebanyak 35 peratus menjelang 2030 berbanding 2017.

Komitmen itu berdasarkan pencapaian Plus dalam mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 25 peratus melalui pelaksanaan pelbagai langkah kecekapan tenaga seperti pengubahsuaian lampu LED dan pemanfaatan tenaga boleh diperbaharui melalui pemasangan panel solar di pejabat dan kawasan rehat.

Plus bertekad memberikan sokongannya terhadap sasaran Net Zero 2050 negara dengan mengoptimumkan tenaga boleh diperbaharui, mempraktikkan amalan mobiliti rendah karbon, memanfaatkan penyelesaian berdasarkan alam semula jadi dan menggalakkan pemikiran serta budaya ekonomi kitaran.

Pengarah Urusan Plus, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, pihaknya percaya berupaya menerajui kelestarian dalam memajukan industri lebuh raya.

"Komitmen kami terhadap sasaran Net Zero membolehkan kami menerajui inovasi dan kerjasama yang akan menyumbang kepada pembangunan negara.

"Bagi mencapai misi kami bagi menghubungkan komuniti untuk mencorakkan masa hadapan yang selamat dan lestari, kami juga komited untuk beroperasi secara bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan sosial sambil mengamalkan amalan tadbir urus yang baik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 3:47 PM