Ketua Setiausaha, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (4 kanan) Kementerian Kerja Raya Malaysia dan beramah mesra ketika menyampaikan hadiah pemenang pertandingan Hiasan Terbaik Kawasan Rehat & Rawat kepada juara Pagoh (arah utara) di Dewan Bankuet, Persada Plus. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Ketua Setiausaha, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (4 kanan) Kementerian Kerja Raya Malaysia dan beramah mesra ketika menyampaikan hadiah pemenang pertandingan Hiasan Terbaik Kawasan Rehat & Rawat kepada juara Pagoh (arah utara) di Dewan Bankuet, Persada Plus. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Amir Abd Hamid dan Lydia Saiful


Subang: Plus Malaysia Berhad (Plus) sudah melatih 520 rakan niaganya dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna lebuh raya kendaliannya.

Pengarah Urusannya Datuk Nik Airina Nik Jaafar berkata, latihan kecemerlangan itu dilaksanakan menerusi Program Insentif Rakan Niaga (BPIP) bagi memastikan kemajuan dan kelestarian rakan niaga.

Menurutnya, rakan niaga Plus itu adalah peniaga yang berniaga di 29 kawasan Rehat dan Rawat (R&R), 50 hentian rehat dan empat restoran jejantas.

"Mereka terdiri daripada penduduk setempat yang tinggal berdekatan dengan lebuh raya yang diberikan peluang untuk berniaga dan mengusahakan gerai makanan, minuman, kraftangan serta sebagainya.

"Sepanjang lebih 30 tahun Plus beroperasi, ramai usahawan tempatan berjaya dilahirkan. Mereka mengalami perkembangan yang baik dalam perniagaan dan kualiti hidup sejak membuka perniagaan di R&R kami.

"Kami berbangga kerana dapat memainkan peranan dalam mencorakkan perjalanan mereka ke arah masa depan lebih makmur dan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi komuniti setempat di sepanjang lebuh raya kami," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Rakan Niaga Plus dan penyampaian hadiah Pertandingan Hiasan Terbaik R&R sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2023 di Menara Korporat Persada Plus, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Sementara itu, Hasnol Zam Zam berkata, syarikat penyedia perkhidmatan lebuh raya diharap dapat terus memodenisasikan lebuh raya dan bertanggungjawab meningkatkan kualiti hidup rakyat selari dengan peredaran masa.

Katanya, ia dapat direalisasikan dengan menjalankan usaha berterusan bagi meningkatkan tahap sosio-ekonomi komuniti setempat sepanjang lebuh raya beroperasi menerusi penyediaan peluang perniagaan, pekerjaan dan sebagainya.

"Saya melihat evolusi pembangunan Plus turut dicapai dengan sokongan padu daripada semua pihak dalam ekosistem lebuh raya itu sendiri, termasuklah rakan niaga di Kawasan Rehat dan Rawat.

"Semua pihak saling berganding bahu dan tenaga demi memenuhi matlamat menyediakan perkhidmatan dan kemudahan lebih baik di lebuh raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 7:31 PM