Suliati Asri

Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus komited dengan aspirasi Sifar Bersih 2050. Untuk mengukuhkan lagi usaha itu, TNB melancarkan kempen Better Energy dan mengajak orang ramai terbabit sama ke arah mencapai matlamat itu kerana tenaga bersih tercipta apabila tindakan bersama.

Dalam merealisasikan aspirasi Sifar Bersih 2050, TNB menjalin kerjasama dengan institut pengajian tinggi (IPT).

Terbaru, bersempena sambutan ulang tahun ke-75, TNB menganjurkan program TNB Reimagining The Future: Better Energy Visualised by Our Future Generation yang disertai lapan IPT iaitu Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Tunku Abdul Rahman, INTI International University, Malaysian Institute of Art, Multimedia University dan UCSI University.

Kerjasama universiti amat penting dalam peranan TNB mendidik generasi akan datang di mana topik seperti tenaga boleh baharu dan kelestarian menjadi lebih mudah difahami oleh orang ramai.

Ia juga secara tidak langsung membolehkan pelajar untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai usaha yang dilaksanakan TNB.

Objektif program ini adalah mengumpul pelajar dari pelbagai bidang pengajian dan universiti supaya mereka peka terhadap perancangan TNB dan bergerak bersama untuk mencapai Aspirasi Sifar Bersih 2050 (Net Zero 2050) .

Sepanjang program yang berlangsung selama tiga minggu itu, pelajar menghadiri bengkel dan diberi pendedahan mengenai tenaga boleh baharu, kemampanan dan kelestarian bersesuaian dengan Sifar Bersih 2050.

Bukan itu saja, menerusi sesi bersama pakar dalam bidang masing-masing, pelajar boleh bertanya secara langsung mengenai pelbagai perkara atau persoalan kepada pakar terbabit.

Menariknya, program ini tidak hanya memberikan banyak input dari segi ilmu serta maklumat tetapi pelajar akan bekerjasama mencipta hasil seni arca yang diperbuat daripada bahan kitar semula.

TNB jalin kerjasama dengan IPT didik generasi muda mengenai tenaga boleh baharu, kelestarian agar mudah difahami.
TNB jalin kerjasama dengan IPT didik generasi muda mengenai tenaga boleh baharu, kelestarian agar mudah difahami.

Ketua Komunikasi Strategik Korporat TNB, Wan Seri Rahayu Wan Mohd Said berkata program itu dilaksanakan bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar dan golongan remaja mengenai kelestarian dan peralihan tenaga.

Menurutnya, program yang julung kali dianjurkan itu juga memberi peluang kepada pelajar memperoleh ilmu mengenai topik kelestarian dan juga peranan tenaga.

"Menerusi program ini, pelajar akan dapat mempelajari topik tenaga boleh baharu yang amat diperlukan untuk kita mencapai sasaran Sifar Bersih 2050 yang sangat penting.

"Pendedahan kepada pelajar penting kerana mereka adalah pemimpin pada masa depan dan akan mewarisi apa yang kita ada sekarang," katanya.

Wan Seri Rahayu berkata, semasa sesi bengkel itu juga, pihaknya memasukkan elemen seni dalam aktiviti kesedaran yang dianjurkan ini.

"Kami minta mereka bekerjasama dan juga menghasilkan satu seni insolasi, jadi mereka dapat menghasilkan secara kreatif interpretasi mereka mengenai apa itu peralihan tenaga.

"Mereka juga dapat mengetahui apa maksud ciptaan itu kepada mereka dan bagaimana mereka boleh membawanya atau menyampaikan kepada universiti serta rakan-rakan," katanya.

Sepanjang kempen ini berlangsung, rata-rata pelajar semuanya bersemangat, sangat kreatif dan berinovasi.

Wan Seri Rahayu berkata pihaknya dapat melihat pelajar amat berdedikasi dan bekerjasama mencurahkan idea.

"Selepas tiga minggu, hari ini kita dapat melihat hasil rekaan dan inovasi mereka yang cukup menakjubkan.

"Agak sukar sebenarnya mahu cari pemenang tetapi mereka semua adalah pemenang menerusi bagaimana mereka berusaha membawa yang terbaik bukan saja dari segi mesej peralihan tenaga, malahan membanggakan universiti mereka juga," katanya.

Menerusi program ini, Wan Seri Rahayu berharap setiap pelajar mendapat inspirasi untuk menjalani gaya hidup yang lebih lestari serta sentiasa proaktif dan peka terhadap setiap pilihan yang mereka lakukan agar ia menyumbang ke arah kelestarian.

"Kami berharap mereka dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai apa itu kelestarian, dapat memahami peralihan tenaga dan disampaikan kepada rakan lain di universiti.

"Jadi dengan kata lain, mereka dapat menjadi duta, wakil ataupun suara dalam kalangan remaja untuk memberi pengetahuan yang sama kepada orang lain.

"Saya juga berharap supaya pelajar mendapat lebih kesedaran mengenai peranan utama yang dipacu oleh TNB dalam menuju peralihan tenaga serta usaha dalam menghasilkan lebih banyak tenaga dan lestari," katanya.

KETUA Pegawai Kelestarian TNB, Leo Pui Yong bersama pelajar melihat antara karya seni yang dihasilkan.
KETUA Pegawai Kelestarian TNB, Leo Pui Yong bersama pelajar melihat antara karya seni yang dihasilkan.

Pada hari terakhir program, pelajar membawa hasil ciptaan mereka ke Pusat Konvensyen Leo Moggie TNB Platinum untuk diadili dan tiga pemenang teratas akan dipilih seterusnya memenangi hadiah wang tunai dan sijil digital.

Kumpulan To-Gather dari Malaysian Institut of Art yang dianggotai oleh pelajar Diploma Rekaan Dalaman, iaitu Go Jing Jie, 21, Lee Xin Yuan, 21, Eunice Lim Zejuen, 20 dan Salehah Athar Ghulam Nabi Athar, 18, mempamerkan hasil ciptaan mereka bertajuk AMP-LI-FLY diumum sebagai pemenang.

Pemenang kedua dimenangi oleh Kumpulan Eco Warriors dari Utar yang dianggotai Chong Kai Wen, Ong Li Kang, Ng Kai Wei dan Kok Lek Cheng dengan pameran bertajuk Future.

Manakala tempat ketiga dimenangi Kumpulan Eco Vanguard dari UiTM yang terdiri daripada Imran Marzuqi Khairunizan, Amirul Nur Hakim Zainal, Nurul Fatihah Emran dan Abdul Falakh Abunloh Lahuya.

Menurut Go, mereka sama sekali tidak menyangka hasil ciptaan mereka akan memenangi pertandingan ini.

"Program ini membolehkan kami mempelajari banyak perkara termasuk ke pusat pengumpulan besi buruk untuk mencari material dan bahan buangan kereta bagi menghasilkan projek ini," katanya.

Go berkata dalam merealisasikan projek itu, ia mengenai tindakan kecil memberi impak besar yang membolehkan kita berfikir mengenai perkara kecil yang boleh diambil oleh individu.

"Hari ini, kita mungkin boleh berfikir mengenai pengangkutan. Di Malaysia kenderaan adalah pengangkutan yang biasa.

"Jadi, kami berpendapat mungkin kami boleh melakukan beberapa perubahan kecil seperti berkongsi kereta 'carpooling', menaiki tren dan juga berbasikal sekali gus mengurangkan pemanduan sendiri," katanya.

AMP-LI-FLY ini juga memperlihatkan bagaimana tindakan kecil yang bertanggungjawab oleh seseorang, membawa kita selangkah lebih dekat ke arah masa depan.

GO Jong Jie bersama rakan pasukannya yang menjuarai pada pengumuman dan penyampaian hadiah Reimagining The Future: Better Energy Visualised by Our Future Generation di Pusat Konvensyen Leo Moggie TNB Platinum.
GO Jong Jie bersama rakan pasukannya yang menjuarai pada pengumuman dan penyampaian hadiah Reimagining The Future: Better Energy Visualised by Our Future Generation di Pusat Konvensyen Leo Moggie TNB Platinum.

Bagi Salehah Athar pula, program ini turut memberi peluang kepada mereka menimba pelbagai ilmu terutama berkaitan Sifar Bersih 2050.

"Sebagai pelajar rekaan dalaman, kami tidak terlalu terdedah berkaitan Sifar Bersih 2050.

"Justeru, menerusi program ini, kami memperluaskan lagi pengetahuan kami mengenainya dan berjumpa dengan ramai pakar dalam bidang masing-masing," katanya.

Sementara itu, wakil UNITEN, Mohd Amir Aqqim Mohd Nizam, 23, berkata program ini juga memberi satu inspirasi dalam mencapai Sifar Bersih 2050.

"Program ini memberi inspirasi kepada kami sebagai pelajar kejuruteraan untuk memberikan idea dan melontarkan pandangan dalam bentuk satu pameran seni.

"Sepanjang tiga minggu mengikuti bengkel ini, banyak pendedahan baharu yang kami peroleh terutama dalam memahami pelbagai perkara contohnya polisi yang dilaksanakan Kerajaan dalam Pelan Peralihan Tenaga Nasional (National Energy Transition Roadmap - NETR) dan Malaysia Energy Transition Roadmap.

"Kami juga dapat mengikuti perbincangan empat mata yang membolehkan kami bertanya dan mendapat jawapan serta maklum balas yang terkini dan sahih daripada pihak bertanggunjawab," katanya.

Mengulas mengenai projek yang dihasilkan, Mohd Amir Aqqim berkata mereka tanggungjawab memberikan kesedaran kepada orang ramai khususnya dan golongan sasaran terutama generasi muda.

"Contohnya bagaimana peranan mereka dimainkan dalam mencapai matlamat Net Zero 2050.

"Walaupun berdepan dengan cabaran terutama membabitkan seni, namun projek ini membolehkan kami berfikir di luar kotak dan merealisasikan apa yang dipelajari sepanjang program ini," katanya.

Untuk maklumat lanjut layari https://www.tnb.com.my/sustainability. Ikuti juga platform media sosial TNB iaitu tenaga_nasional di Instagram, Tiktok dan X. Juga Youtube @TENAGAofficial .

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 6:20 AM