ABAS mengiringi dan Amirudin (kanan) melihat pelan sistem solar.
ABAS mengiringi dan Amirudin (kanan) melihat pelan sistem solar.
Oleh Suliati Asri


Kuala Lumpur: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), baru-baru ini melancarkan inisiatif Visi Tenaga Net Zero 2040 ke arah penggunaan tenaga lestari yang cekap bagi mencapai sasaran karbon sifar bersih menjelang 2040.

Pelancaran inisiatif itu juga turut menyokong komitmen Malaysia terhadap neutraliti karbon menjelang 2050.

Seiring dengan Pelan Peralihan Tenaga Nasional (National Energy Transition Roadmap - NETR), inisiatif Visi Tenaga Net Zero yang dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) ini menyasarkan penjanaan 1,460 GWh (gigawatt hour) tenaga elektrik hijau setiap tahun menjelang 2040, membabitkan pengelakan 1,138,800,000 kg pelepasan gas CO2 (carbon avoidance) serta mengurangkan Indeks Tenaga Korporat sebanyak 15 peratus dalam tempoh 15 tahun.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata, menerusi usaha Visi Tenaga Net Zero itu, 9.1 juta pengguna di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menikmati bekalan air terawat yang bersih dan selamat yang dihasilkan menggunakan tenaga boleh baharu (renewable energy – RE) sepenuhnya.

Katanya, Visi Tenaga Net Zero Air Selangor ini bukanlah sekadar satu hasrat, tetapi komitmen berteraskan kelestarian untuk generasi akan datang.

"Dengan pelaksanaan inisiatif ini, tenaga boleh baharu yang dijana bagi kegunaan sendiri dapat mengurangkan kos operasi Air Selangor dan bakal menjadikan Air Selangor sebagai pelopor tenaga boleh baharu berskala besar di Malaysia.

"Kami percaya dengan strategi dan langkah yang tepat, kami mampu mencapai matlamat ini tanpa mengabaikan keperluan serta keselesaan pengguna kami," katanya ketika berucap majlis pelancaran, baru-baru ini.

Dengan pelaksanaan tiga fasa secara keseluruhan sehingga tahun 2040, Air Selangor sudah memulakan fasa pertama dengan pemasangan panel fotovoltaik solar (PV) di LRA SSP2 berkapasiti 9MWac pada 29 September lalu.

Ini diikuti pemasangan panel PV berkapasiti 10.5MWac di LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) pada penghujung tahun ini, dan di LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) berkapasiti 11.5MWac yang dijangka siap pada Disember 2024.

Fasa kedua akan bermula pada 2025 sehingga 2029 dengan memberi tumpuan kepada memaksimumkan penggunaan tenaga boleh baharu kepada 52 peratus di LRA SSP1, SSP2 dan SSP3 serta menggunakan teknologi sistem solar terapung dan aplikasi penstoran tenaga di LRA Sungai Rasau.

Fasa ketiga akan bermula dari 2030 hingga 2040 membabitkan penggunaan kawasan takungan air di bawah Air Selangor bagi menjana lebih banyak tenaga boleh baharu untuk disalurkan kepada aset-aset yang masih belum mencapai status sifar bersih.

Ia sekali gus membolehkan Air Selangor mencapai 100 peratus peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu menjelang 2040.

Visi Tenaga Net Zero 2040 ini juga adalah komitmen Air Selangor dalam menyumbang kepada penurunan signifikan pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gas - GHG) yang selari.

Selain itu, visi itu juga menyokong sepenuhnya inisiatif kerajaan negeri Selangor dan Malaysia dalam mencapai kelestarian yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 13 – Tindakan Iklim (Climate Action) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 6:02 AM