Redzuan Muharam

Kota Tinggi: Bapa seorang anak, Zainal Abidin Muhamad bukan hartawan mahupun jutawan sebaliknya mencari rezeki sebagai pembaca meter.

Bagaimanapun, kepuasan memberi mendorong Zainal Abidin, 43, untuk bersedekah walaupun hanya gula-gula, snek dan minuman kepada kanak-kanak ditemuinya.

Kisahnya itu mendapat perhatian di TikTok selepas Zainal Abidin memuat naik video rutinnya itu di platform berkenaan.

Bercerita lanjut, Zainal Abidin berkata, rutin membawa buah tangan 'jajan' setiap kali bekerja sudah menjadi kelazimannya sejak kira kira-kira tujuh tahun lalu cuma baru kini dikongsikan menerusi video di TikTok.

"Kerja saya saban hari memang akan jumpa dengan ramai orang cuma setiap kali singgah di rumah penduduk untuk baca meter, yang keluar ambil bil adalah anak mereka.

"Saya biasanya masuk ke kawasan kampung dan rata-rata anak penduduk adalah kanak-kanak jadi daripada situ, datang idea untuk bawa buah tangan iaitu 'jajan' buat mereka.

"Kiranya, sambil bekerja, saya ambil kesempatan untuk bersedekah ikut kemampuan saya walaupun tak seberapa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi pengalamannya, Zainal Abidin berkata, detik paling menggembirakannya adalah setiap kali melihat reaksi dan keletah kanak-kanak yang menerima pemberiannya.

ZAINAL Abidin gemar memberi ‘jajan’ kepada kanak-kanak ditemuinya. FOTO Ihsan Zainal Abidin Muhamad
ZAINAL Abidin gemar memberi ‘jajan’ kepada kanak-kanak ditemuinya. FOTO Ihsan Zainal Abidin Muhamad

"Perasaan saya bercampur baur sebenarnya, gembira, puas dan sebak pun ada. Mana tidaknya, ada kanak-kanak yang sanggup datang kepada saya dari jauh walaupun belum tiba giliran untuk baca meter di rumahnya.

"Ada juga yang perhatikan saya apabila baca meter di rumah jiran dan siap joget dan menyanyi selepas saya memberinya gula-gula.

"Terharu kerana berasa pemberian saya dihargai. Ikutkan, saya tak beri kepada kanak-kanak saja tetapi ada juga bagi orang dewasa cuma dalam sehari pergi kira-kira 250 rumah jadi tak semua akan dapat memandangkan bawa pun tak banyak dalam puluhan saja," katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Zainal Abidin berkata, niatnya adalah untuk membuka mata orang ramai mengenai keseronokan bersedekah.

"Sebenarnya, saya muat naik video untuk kongsi pengalaman sedekah dan Alhamdulillah, dapat maklum balas baik daripada yang menonton. Ada yang sampai hantar DM (kiriman mesej) beritahu yang mereka terinpsirasi dan mahu ikut cara saya.

"Saya tak sangka sampai begitu sekali dan sebenarnya, saya bukan hanya bawa buah tangan untuk kanak-kanak tetapi juga makanan kucing kerana kasihan lihat haiwan jalanan kelaparan. Selagi termampu, saya akan terus bersedekah dan sebenarnya, ramai juga penduduk yang layan saya dengan baik setiap kali singgah di rumah mereka malah ada yang bagi duit tak kurang juga pelawa makan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 3:06 PM