NOR Azamir menyiram air sempena Program Khatan Perdana 2019. FOTO Mohd Fadli Hamzah
NOR Azamir menyiram air sempena Program Khatan Perdana 2019. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A’isyah Sukaimi


“LEPAS ini boleh jadi imam solat di sekolah.” Itu reaksi Adeeb Hakimi Alias iaitu seorang daripada 100 peserta Program Khatan Perdana 2019 anjuran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) di Putrajaya.

Murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(2)itu hadir ditemani ibu, Norlia Ghazali, 44, yang juga kakitangan masjid berkenaan dan bapa, Alias Ja’mat, 43, iaitu guru sekolah di Petaling Jaya.

Biarpun menjadi peserta pertama, Adeeb Hakimi, 9, berkata, dia tidak menangis kerana tidak mahu menimbulkan perasaan takut terhadap kanak-kanak lain yang menyertai program itu.

“Sebabkan saya peserta pertama berkhatan, saya tak menangis dan tak menjerit. Rasa takut dan sakit itu sikit saja. Semasa bersunat, saya doa banyak-banyak dan baca al-Fatihah.

“Kalau di sekolah, saya selalu jadi imam solat Zuhur atau Asar. Jadi sekarang tak perlu bimbang sebab saya sudah berkhatan,” katanya ketika ditemui pada Program Khatan Perdana 2019 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, hari ini.

ADEEB Hakimi Alias. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ADEEB Hakimi Alias. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Sementara itu, Norlia berkata, Adeeb Hakimi yang juga anak bongsu daripada dua beradik teruja dan bersemangat untuk menyertai program berkhatan berkenaan.

“Kami janjikan kepadanya sesuatu untuk memujuk menyertai program. Anak saya juga selalu menjadi imam solat Zuhur atau Asar di sekolah, jadi saya terangkan perlu berkhatan bagi membersihkan diri daripada air kencing dan kotoran lain untuk bersolat.

“Memandangkan dia peserta pertama, saya beritahu supaya tidak menjerit dan sentiasa bertenang kerana perlu menjadi contoh kepada peserta lain. Jika dia menjerit ketakutan, peserta lain selepasnya akan turut berasa bimbang dan takut,” katanya.

Sementara itu, Imam Besar MTMZA, Nor Azamir Alias berkata, program berkenaan masuk tahun ketujuh diadakan dengan peserta termuda berusia lima tahun dan penyertaan kali ini lebih ramai berbanding tahun lalu.

“Kelainan pada tahun ini apabila seramai 16 peserta terdiri daripada anak yatim dari Dengkil, Selangor turut ditaja menerusi program ini. Peserta juga bukan saja dalam kalangan penduduk di sini malah di sekitarnya yang berdekatan Putrajaya.

“Sebelum sesi berkhatan, program ini dimeriahkan dengan acara suapan kasih yang mana pulut kuning disuapkan kepada peserta oleh imam masjid ini manakala acara siraman kasih sebagai gimik disempurnakan oleh pihak bomba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 1:02 PM