V Sivakumar
V Sivakumar
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Seramai 3,255 wanita profesional yang berhenti kerja kerana komitmen keluarga berjaya dibawa kembali ke dalam pasaran kerja menerusi program Program Kembali Kerjaya (Career Comeback) setakat 30 September lalu.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata inisiatif yang diwujudkan Kementerian Sumber Manusia melalui TalentCorp sejak 2015 turut membabitkan 335 syarikat yang memberi komitmen penawaran pekerjaan kepada wanita.

"Program menggalakkan wanita profesional yang keluar daripada alam pekerjaan kembali bekerja ini bermula sejak 2015, satu inisiatif untuk mengekalkan tenaga kerja wanita dalam organisasi.

'Pada masa sama, ia bagi memastikan pewujudan ekosistem yang menyokong pembabitan wanita dalam sektor pekerjaan dengan lebih berkesan," katanya ketika menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) bagi sesi pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sivakumar berkata, Program Kembali Kerjaya dilaksanakan dengan kolaborasi rakan strategik industri bertujuan membina kembali keyakinan diri, meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran wanita.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengetengahkan inisiatif Work-life practices (WLPs) dalam usaha menarik dan mengekalkan tenaga kerja muda, berpendidikan bekerja.

"Inisiatif ini dilaksanakan bagi menggalakkan majikan mewujudkan persekitaran yang mempunyai keseimbangan lebih baik antara integrasi kerja dan kehidupan serta menyediakan persekitaran kerja mesra keluarga.

"Sejak diwujudkan pada 2015 hingga September lalu, sebanyak 1,109 syarikat (majikan) sudah melaksanakan inisiatif ini," katanya.

Selain itu katanya, peruntukan aturan kerja fleksibel di bawah seksyen 60 (P) dan 60 (Q) 1955 pindaan 2022 yang dikuat kuasa 1 Januari lalu, ia secara tidak langsung membolehkan pekerja sektor swasta memohon aturan kerja fleksibel dari jumlah jam, hari dan tempat bekerja.

"Peruntukan seksyen ini menarik lebih ramai golongan wanita untuk bekerja terutama mereka yang mempunyai komitmen keluarga," katanya.

Katanya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga aktif menjalankan program penempatan pekerjaan bagi menarik golongan wanita untuk menarik mereka pasaran buruh aktif yang membabitkan penempatan pekerjaan, latihan pekerjaan serta kebolehpasaran melalui MyFutureJobs.

"Ini berdasarkan statistik PERKESO, dari Januari sehingga 26 Oktober lalu, sebanyak 39 program khusus untuk wanita dijalankan dengan seramai 1,325 wanita berjaya mendapat pekerjaan, manakala seramai 526 peserta layak untuk peringkat temuduga kedua.

"Di samping itu, KSM menjalankan program bersasar untuk wanita seperti karnival kerjaya MyFutureJobs sempena Hari Wanita, Karnival Kerjaya Wanita, Program Temuduga Khas di peringkat kebangsaan dan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 2:04 PM