DATUK Rais Yasin merasmikan Hab Pusat Pandu Lalu KITARecycle, di Taman Botanikal Ayer Keroh, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
DATUK Rais Yasin merasmikan Hab Pusat Pandu Lalu KITARecycle, di Taman Botanikal Ayer Keroh, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan negeri mahu sistem pembuangan sisa pepejal untuk dikitar semula yang lebih tersusun dan bersistematik diperluaskan ke seluruh negeri sebagai usaha mengelakkan kebergantungan kepada Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Sungai Udang, di sini yang semakin kritikal.

EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, berkata ini kerana sistem pembuangan sisa pepejal yang dibangunkan oleh SWM Environment Sdn Bhd di sini mampu menangani kepadatan bahan buangan di Sungai Udang ketika ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, SWM Environment perlu berbincang dengan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu bagi membolehkan sistem pembuangan sisa pepejal berkenaan dibangunkan di setiap kawasan Parlimen.

"Pusat Pandu Lalu Kitar Semula atau Hab Pusat Pandu Lalu KITARecycle ini adalah satu kaedah yang baik untuk mewujudkan aktiviti kitar semula sisa pepejal yang lebih terancang, bersistematik serta mampu dimanfaatkan oleh penduduk negeri itu.

"Sistem yang dibangunkan oleh SWM Environment itu dilihat bertepatan dengan menifestasi kerajaan negeri untuk menggalakkan pembabitan masyarakat dalam agenda kelestarian negeri serta memperkasakan gaya hidup hijau serta rendah karbon di Melaka.

"Ia sekali gus, membantu kebergantungan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang yang kini semakin kritikal akibat pertambahan janaan sisa setiap masa," katanya selepas merasmikan Hab Pusat Pandu Lalu KITARecycle, di Taman Botanikal di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Zulkiflee Mohd Zin; Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin serta Pengarah SWCorp negeri, Khairuladha Ab Mutalib.

Hab Pusat Pandu Lalu itu adalah satu daripada tiga komponen utama di bawah program KITARecycle SWM Environment, di samping Pusat Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) dan Kenderaan Bergerak KITARecycle yang akan dilaksanakan secara berperingkat di negeri itu.

Minggu lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dilaporkan berkata, kerajaan negeri mahu pembinaan Loji Sisa Ke Tenaga (WTE) atau insinerator di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang, di sini disegerakan.

Sementara itu, Mohd Norlisam berkata, SWM Environment yakin amalan kitar semula di negeri ini akan terus meningkat menerusi pelancaran Hab Pusat Pandu Lalu KITARecycle yang pertama di Melaka itu.

Katanya, ia kerana pusat pandu lalu berkenaan akan lebih memudahkan masyarakat khususnya di sekitar Bandar Raya Melaka untuk menghantar barangan kitar semula, seterusnya dapat mengumpul mata ganjaran yang boleh ditebus dengan wang di bawah program KITARecycle.

"Sejak program ini dilancarkan pada 2018, sebanyak 1.5 juta kilogram (kg) bahan kitar semula berjaya dikumpulkan manakala di negeri Melaka pula hampir 140 ribu kg bahan kitar semula berjaya diselamatkan dari dibawa ke tapak pelupusan.

"Saya yakin bahawa jumlah kutipan kitar semula di Melaka akan terus meningkat sekiranya semua pihak berganding bahu bersama-sama menjayakan program KITARecycle ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 7:37 PM