TEO Kok Seong bersama Norlisam pada sidang media Pelan Strategik Operasi Hari Raya Aidilfitri. FOTO Ahmad Hasbi
TEO Kok Seong bersama Norlisam pada sidang media Pelan Strategik Operasi Hari Raya Aidilfitri. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi

Seremban: Pertambahan sebanyak 3,000 tan sampah sisa pepejal dijangka dibuang orang ramai pada hari kemuncak Aidilfitri berbanding 840 tan ketika ini.

Susulan itu SWM Environment merangka Pelan Strategik Operasi Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan operasi kutipan sisa pepejal dan pembersihan berjalan lancar terutama pada tiga hari berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, pelan secara terperinci itu penting memandangkan berlaku peningkatan anak perantau yang pulang beraya pada tahun ini.

"Pelan strategik ini penting bagi memastikan sampah yang dijana dapat dikutip tepat pada masanya dan tidak berlaku lambakan memandangkan kami menjangkakan berlaku pertambahan sisa pepejal.

"Pada hari biasa, sisa pepejal dihasilkan sebanyak 840 tan sehari dan kami menjangkakan bertambah kepada 1,000 tan sehari bermula 1 hingga 3 Mei," katanya pada sidang media Pelan Strategik Operasi Hari Raya Aidilfitri di sini, tadi.

Turut hadir Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Norlisam Mohd Nordin.

Beliau berkata, seramai 1,134 petugas dan 165 kenderaan serta jentera terbabit dalam melaksanakan operasi perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di lapan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 1:58 PM