SEBANYAK 160,000 kg sisa dan sampah sarap dikumpulkan menerusi kerja pembersihan oleh SWM Environment Sdn Bhd. FOTO ihsan SWM
SEBANYAK 160,000 kg sisa dan sampah sarap dikumpulkan menerusi kerja pembersihan oleh SWM Environment Sdn Bhd. FOTO ihsan SWM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebanyak 160 tan kilogram sisa dan sampah terkumpul akibat banjir dikumpulkan di negeri ini setakat ini susulan bencana alam terburuk itu sejak minggu lalu.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, pihaknya melakukan pembersihan melalui Operasi Bantuan Banjir yang melaksanakan Inisiatif Pembersihan Pasca Banjir.

Katanya, walaupun bencana banjir masih melanda beberapa daerah setakat ini, kerja pembersihan di enam daerah yang kawasannya mulai pulih dan surut sudah dimulakan seperti di Kluang, Segamat, Johor Bahru, Kulai, Mersing dan Kota Tinggi.

"Kerja pembersihan menerusi Inisiatif Pembersihan Pasca Banjir itu dilaksanakan oleh hampir 100 anggota barisan hadapan pengurusan sisa pepejal dengan sokongan sekitar 30 buah kenderaan berjentera.

"Ia membabitkan lori Open Tipper, lori Roll-On Roll-Off (RORO) dan jentolak melalui jalinan kerjasama dengan Pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Norlisam berkata, SWM Environment memulakan Operasi Bantuan Banjir melalui perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di hampir 220 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) negeri ini.

Katanya, ia termasuk PPS yang terletak di luar kawasan perkhidmatan syarikat konsesi sejak bencana banjir melanda negeri Johor.

"Inisiatif itu dilaksanakan oleh seramai 60 orang anggota kerja dengan sokongan sekitar 20 buah lori kompaktor yang menyaksikan penempatan dan penambahan sekitar 330 unit tong sampah beroda.

"SWM Environment turut menyarankan supaya setiap pemilik premis melaporkan kehilangan tong sampah beroda (TSB) kepada polis sekiranya tong yang dibekalkan kepada mereka hanyut atau rosak akibat bencana banjir.

"Setiap pemilik premis perlu mengemukakan permohonan penggantian TSB bersama salinan laporan polis berkenaan secara dalam talian di laman sesawang www.swmenvironment.com," katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung prosedur penggantian TSB itu boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 atau WhatsApp kepada 012-618 0082.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 1:00 PM