Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin.
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Pengurusan kes saman fitnah dikemukakan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin terhadap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung sidang media pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022, ditetapkan pada 26 Jun depan.

Tarikh berkenaan diputuskan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nik Nur Amalina Mat Zaidan menerusi e-review pada pagi ini.

Peguam Khairy, Shakeel Saifuzzaman ketika dihubungi BH memaklumkan pengurusan kes hari ini hanya mengenai status serahan saman.

"Pengurusan kes seterusnya untuk menyempurnakan serahan saman," katanya.

Khairy memfailkan writ saman pada 24 Mei lalu melalui firma guaman Tetuan Aizat Izuan Shakeel dan menuntut ganti rugi khas RM1 juta, ganti rugi am dan perintah supaya Jamal menerbitkan permohonan maaf di Facebook dan TikTok serta dalam akhbar utama Melayu, Inggeris dan Cina.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khairy berkata, pada PAU 2022 diadakan 14 Januari lalu, Jamal mengadakan sidang media di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur dihadiri pengamal media, perwakilan Umno dan beberapa ahli serta pemimpin Umno.

Pada hari sama, Khairy berkata, Jamal melalui akaun Facebook di bawah nama 'DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)' memuat naik rakaman video sidang video itu bertajuk 'Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno selepas mengeluarkan kenyataan yang semborono dan memalukan Umno.

Katanya, Jamal juga memuat naik rakaman sama melalui akaun media sosial TikTok di bawah nama pengguna 'jamal_yunos'.

Khairy berkata, kenyataan berbaur fitnah itu antaranya membawa maksud beliau pemimpin yang tiada integriti, tiada kredibiliti memimpin dan terbabit atau melakukan jenayah rasuah.

Katanya, ia turut membawa maksud beliau melaksanakan dan menerapkan pendekatan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti demi kepentingan peribadi dan tidak layak menjadi seorang pemimpin serta tidak setia kepada parti serta pemimpin parti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 3:51 PM