KOR Ming (kanan) beramah mesra dengan peniaga di Pasar Besar Teluk Intan. FOTO Muhamad Lokman Khairi
KOR Ming (kanan) beramah mesra dengan peniaga di Pasar Besar Teluk Intan. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berpendapat setiap pemimpin dan ahli parti itu berhak menyuarakan pandangan namun sebarang keputusan besar bergantung kepada parti.

Beliau mengulas saranan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming yang mencadangkan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan bekas Naib Pemuda Umno, Shahril Sufian Hamdan patut menyertai DAP kerana parti itu ketiadaan calon Perdana Menteri.

Terdahulu, Kian Ming berkata demikian ketika menjawab soalan Khairy sebab beliau dan Shahril perlu menyertai DAP di siaran podcast, 'KeluarSekejap' di saluran YouTube.

"Semua ahli parlimen atau pemimpin DAP, mereka bebas memberikan pendapat peribadi. Tetapi setiap pemimpin adalah terikat dengan keputusan parti, itu jelas," katanya ketika melawat Pasar Besar Teluk Intan, di sini, hari ini.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dan pernah memegang jawatan Ketua Pemuda Umno dipecat parti itu Januari lalu selepas dikatakan melanggar undang-undang disiplin parti.

Selain itu, Shahril digantung keahlian Umno selama enam tahun.

Sehingga hari ini, Khairy masih berteka-teki sama ada akan meneruskan kerjaya politik dan menyertai parti lain untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Sementara itu, Shahril menegaskan beliau tidak akan bertanding pada PRN kerana secara teknikal, beliau masih ahli Umno.

Menerusi siaran podcast sama, Shahril berkata, beliau yakin 99 peratus untuk tidak terbabit dengan PRN akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 12:17 PM