CHA Hoong Fong (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan. FOTO Ruwaida Md Zain.
CHA Hoong Fong (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan. FOTO Ruwaida Md Zain.
Ruwaida Md Zain


Klang: Kegiatan seorang lelaki tempatan yang menjalankan kegiatan haram memproses dadah pelbagai perisa di sebuah rumah di Pandamaran terbongkar apabila diserbu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, 24 Mei lalu.

Suspek dipercayai menjadikan rumah berkenaan sebagai makmal mini memproses dadah berperisa limau, mangga, anggur juga jambu batu itu beroperasi sejak 2020.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam operasi kira-kira jam 6.30 petang itu polis berjaya menahan seorang suspek berumur 33 tahun yang berada di rumah berkenaan ketika itu.

"Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas sejumlah 2,700 biji disyaki pil ecstasy, 120 paket serbuk ecstasy dan sepaket dadah ketamin.

"Turut dirampas, sebuah bekas plastik keras penutup merah berisi serbuk ectasy dan tiga buah bekas plastik keras bertutup biru berisi serbuk ectasy dengan nilai kesemua barang rampasan berjumlah RM180,000.

"Ujian saringan air kencing dibuat ke atasnya mendapati suspek positif Benzodiazepin," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini hari ini.

Hoong Fong berkata, siasatan mendapati, makmal terbabit boleh menghasilkan 1,000 peket ectasy dan ketamin dalam tempoh seminggu.

"Dadah itu dipercayai dihasilkan dengan campuran dadah jenis ketamin dan ecstasy serta serbuk perisa buah-buahan sebelum dibungkus semula dalam paket just minuman berperisa dengan menggunakan mesin khas.

"Siasatan juga mendapati sebungkus dadah ini dijual dengan harga RM200 sepaket dan kita percaya, dadah ini bukan sahaja dijual di daerah Klang, tetapi dijual di luar daerah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menyambung reman suspek meskipun remannya tamat esok (31 Mei) bagi meneruskan siasatan lanjut termasuk sekiranya ada pembabitan pihak lain dalam kegiatan haram itu.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 398 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 1:42 PM