RAZALI (tengah) dan Dr Adam (dua kiri) mendengar penerangan operasi daripada Norazam ketika melakukan lawatan di ladang penternakan lembu Kaisar Farm (M) Sdn Bhd di Chuping, Padang Besar. FOTO Aizat Sharif
RAZALI (tengah) dan Dr Adam (dua kiri) mendengar penerangan operasi daripada Norazam ketika melakukan lawatan di ladang penternakan lembu Kaisar Farm (M) Sdn Bhd di Chuping, Padang Besar. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif

Padang Besar: Bekalan lembu di negeri ini mencukupi dan dijangka tidak menghadapi masalah menjelang sambutan Aidiladha bulan depan.

Ini berikutan persediaan awal yang dilakukan oleh pihak berwajib termasuk dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis dalam mempermudahkan kelulusan permit kepada penternak di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Perlis, Razali Saad berkata, pihaknya yang mewakili kerajaan negeri memberi jaminan proses kelulusan permit sembelihan luar dan pergerakan lembu akan dibuka seawal dua minggu sebelum Aidiladha.

"Berdasarkan maklumat yang kita terima, bekalan lembu pada tahun ini mungkin tidak ada masalah sangat berbanding tahun sebelum ini.

"Ketika itu negara masih dalam keadaan pandemik dan berdepan masalah kemasukan lembu dari luar.

"Insya-Allah, anggota JPV juga akan turun padang sewaktu Aidiladha nanti bagi melakukan pemantauan dan lawatan ke pusat sembelihan untuk memeriksa daging korban agar tidak dijangkiti penyakit atau sebagainya," katanya ketika melawat ladang penternakan lembu di Chuping, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JPV Negeri Perlis, Dr Adam Kwan Abdullah dan Pengarah Urusan Kumpulan Kaisar Farm (M) Sdn Bhd, Datuk Seri Norazam Shah Ibrahim.

Sementara itu, beliau berkata, kewujudan ladang penternakan lembu itu mampu menampung permintaan orang ramai di negeri berkenaan pada musim perayaan.

"Walaupun ladang ternakan ini baharu beroperasi September tahun lalu, namun saya lihat pengurusannya sudah membuat persediaan awal dengan membawa 2,500 lembu dari Thailand sebagai persediaan Aidiladha nanti.

"Malah kerajaan negeri juga berharap agar ternakan lembu di sini bukan hanya sekadar transit untuk perayaan sahaja, namun dapat dikembang menjadi ladang pengganda bagi menghasilkan baka lembu di Perlis," katanya

.

Sementara itu, Norazam berkata, pihaknya memasarkan lembu ternakan dari ladang berkenaan ke kawasan sekitar Lembah Klang termasuk Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

"Kita juga sedang membangunkan beberapa infrastruktur termasuk mendirikan gudang makanan lembu sendiri dalam usaha meminimumkan kos operasi.

"Kita juga berhasrat melakukan sistem integrasi bagi menternak sendiri lembu di sini dengan menggunakan baka lembu betina," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 4:49 PM