Aizat Sharif

Padang Besar: Dengan Aidiladha yang bakal disambut Selasa ini, pembekal lembu dan kambing di Perlis bergelut dalam menyediakan bekalan lembu dan kambing kepada pelanggan bagi memastikan tiada berlaku lambakan bekalan haiwan berkenaan pada musim perayaan ini.

Dengan keadaan penularan jangkitan pandemik Covid-19 yang masih belum menampakkan tanda untuk surut serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyebabkan ibadah korban perlu dijalankan dalam skala kecil serta perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Seorang pembekal lembu dan kambing, Zulkifli Saad, 33 berkata, situasi penularan jangkitan Covid-19 yang melanda negara pada waktu ini ternyata menyebabkan mata pencariannya terjejas.

"Dengan pelaksanaan PKP yang tidak membenarkan majlis kenduri serta ibadah korban dilakukan dalam keadaan terhad juga menjejaskan permintaan bekalan lembu dan kambing di kandang saya ini.

"Jika dilihat balik sebelum bermulanya pandemik Covid-19 ini serta pelaksanaan PKP di negara ini, permintaan terhadap lembu untuk dibuat kenduri akikah dan kenduri perkahwinan atau ibadah korban adalah sekitar 100 hingga 200 ekor," katanya ketika ditemui di kandang lembu dan kambing miliknya di Kampung Kubang Perun, Chuping di sini, hari ini.

Menurutnya, apabila berlakunya penularan pandemik Covid-19 serta pelaksanaan PKP, penjualan lembu dan kambing miliknya itu menurun antara 50 hingga 60 peratus.

"Memanglah jika dilihat dalam kandang ini, memang banyak bekalan lembu dan kambing tetapi ia menjadi semakin sukar untuk dijual kerana keadaan pada waktu ini yang menentu.

"Saya tidak nafikanlah walaupun ada yang masih mencari saya untuk membeli lembu atau kambing tetapi ia tidak sama seperti dahulu kerana pembelian dibuat dalam kuantiti atau skala yang kecil, malah kos untuk menyediakan makanan buat lembu dan kambing seperti dedak juga semakin meningkat pada harga RM50 sekilogram ketika ini," katanya.

PEKERJA ladang lembu memberi makanan sebahagian lembu yang telah ditempah sempena Hari Raya Aidiladha di Kubang Perun,Padang Besar. FOTO Luqman Hakim Zubir
PEKERJA ladang lembu memberi makanan sebahagian lembu yang telah ditempah sempena Hari Raya Aidiladha di Kubang Perun,Padang Besar. FOTO Luqman Hakim Zubir

Dia yang dikenali sebagai Bang Chik dalam kalangan penduduk kampung di kawasan itu berkata, dia sudah menjalankan perniagaan membekalkan lembu dan kambing ini sejak tujuh tahun lalu.

"Di kandang ini, kita mempunyai 250 lembu dan 500 kambing dari pelbagai baka seperti baka tempatan, Thailand dan Australia.

"Jadi apabila PKP dilaksanakan, maka lembu dari baka Thailand dan Australia tidak dapat diambil dan kita hanya bergantung kepada aka tempatan sahaja," katanya.

Selain itu, Zulkifli berkata, kandangnya itu turut menyediakan khidmat penyembelihan lembu dan kambing menggunakan mesin elektronik yang dibawa khas dari Australia.

"Khidmat penyembelihan ini dilakukan mengikut syarat sembelihan Islam di mana akan ada wakil masjid atau surau yang menempah lembu atau kambing ini menyembelih lembu ini selain dipantau oleh JPV.

"Untuk tahun ini, ia akan dilakukan dalam skala kecil kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dengan daging korban akan dilapah dan terus dibungkus sebelum diagihkan oleh wakil masjid atau surau berkenaan kepada jemaah di kariah mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 2:44 PM