AHMAD Faizal menunjukkan vest polis yang dirampas. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
AHMAD Faizal menunjukkan vest polis yang dirampas. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Memakai vest polis kononnya mahu melakukan pemantauan di kedai runcit sebelum menyamun.

Itu modus operandi digunakan dua lelaki apabila mereka dikesan memakai vest polis untuk melakukan samun terhadap pekerja premis di Batang Kali.

Bagaimanapun, kegiatan mereka yang aktif sejak awal tahun ini tidak bertahan lama apabila polis menahan semua suspek pada 16 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, dua suspek berusia 37 dan 38 tahun dicekup di lokasi berasingan.

"Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah. Bagaimanapun, ujian air kencing mereka didapati negatif.

"Polis merampas beberapa barang antaranya kunci motosikal dan kereta, telefon bimbit, beg, kasut dan peralatan motosikal.

"Turut dirampas motosikal Kawasaki KR150 dan vest polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan kes samun itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 4:42 PM