Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Empat individu warga tempatan termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit kes samun pada 10 Mei lalu diberkas polis dalam dua serbuan berasingan di Rawang dan Hulu Selangor.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, keempat-empat suspek berusia 28 hingga 47 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor pada 13 dan 15 Mei lalu.

"Penahanan membawa kepada rampasan pelbagai barang kes antaranya telefon bimbit, pakaian, rantai emas, dokumen pajak gadai dan dokumen lesen Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

"Turut dirampas Perodua Kelisa dan motosikal Yamaha 125Z dengan kedua-duanya adalah kenderaan curi. Nilai rampasan dianggarkan RM 25,000," katanya pada sidang media di IPD Hulu Selangor, di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, modus operandi suspek ialah menyasarkan wanita di kawasan kurang tumpuan orang ramai.

Menurutnya, kumpulan itu aktif melakukan jenayah samun sejak tiga tahun lalu.

AHMAD Faizal menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPD Hulu Selangor, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
AHMAD Faizal menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPD Hulu Selangor, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

"Semakan mendapati dua daripada empat suspek mempunyai lebih 20 rekod lampau jenayah dan dadah.

"Bagaimanapun, ujian saringan air kencing ke atas semua suspek didapati negatif," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita bersama anak perempuannya berdepan detik cemas apabila diragut dua lelaki di stesen bas berhadapan Surau Jalan Ros 1, Bukit Sentosa.

Suspek yang menaiki Perodua Kelisa dipercayai berpura-pura bertanyakan arah jalan dan bertindak meragut rantai dipakai mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 12:49 PM