Mohamad Imhar (tengah) menerima sijil Bacelor Profesional Pengurusan Fasiliti daripada Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Ts Dr Zaliman Sauli (dua dari kiri) sambil disaksikan pihak pengurusan UniMAP dan ahli keluarga Mohamad Imhar di kediamannya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. FOTO IHSAN UNIMAP
Mohamad Imhar (tengah) menerima sijil Bacelor Profesional Pengurusan Fasiliti daripada Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Ts Dr Zaliman Sauli (dua dari kiri) sambil disaksikan pihak pengurusan UniMAP dan ahli keluarga Mohamad Imhar di kediamannya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. FOTO IHSAN UNIMAP
Oleh Aizat Sharif

Arau: Barah neuroendocrine tahap empat dihidapi membuatkan graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mohamad Imhar SN Ibrahim, 39, terpaksa melupakan hasratnya untuk menghadiri Istiadat Konvokesyen ke-18 universiti itu di Pauh Putra, di sini, semalam.

Malah, keadaan kesihatannya yang semakin merosot menyebabkan graduan Pusat Pembangunan Profesional dan Pembelajaran Berterusan (PDCE) itu kecewa selepas hasratnya untuk meraikan penat lelah pengajian pada sidang akhir konvokesyen berkenaan terkubur.

Namun begitu, kekecewaan bapa kepada tiga anak ini terubat selepas dimaklumkan bahawa majlis pengurniaan skrol bacelornya itu tetap dilaksanakan.

Ia selepas Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli mendapat perkenan daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP, bagi menganugerahi Bacelor Profesional Pengurusan Fasiliti di kediaman Mohamad Imhar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini.

Mohamad Imhar berkata, dia memang berhasrat untuk hadir namun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

"Terima kasih kepada Zaliman serta pengurusan UniMAP yang bersusah-payah mengambil inisiatif mengurniakan skrol bacelor ini kepada saya," katanya pada kenyataan oleh UniMAP.

"Saya disahkan menghidap barah ini pada 2021, tidak lama selepas mendaftar sebagai penuntut. Namun, saya tetap ingin menyempurnakan pengajian.

"Malah, sokongan isteri, anak-anak serta keluarga menjadi penguat semangat untuk saya terus positif dan fokus pada pengajian," katanya yang masih menjalani beberapa siri rawatan.

Terdahulu, Zaliman tiba di kediaman Mohamad Imhar untuk menyampaikan skrol berkenaan.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Dr Mohd Shukry Abdul Majid, Pendaftar UniMAP Syahiza Hamzah dan Pengarah PDCE Prof Madya Ts Dr Nasrul Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 3:32 PM