ANTARA kereta mewah yang terbabit dalam penipuant berkenaan.
ANTARA kereta mewah yang terbabit dalam penipuant berkenaan.
Ilah Hafiz Aziz

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan satu sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta.

Dalam operasi oleh Bahagian Operasi Khas SPRM itu, tujuh individu ditahan di Kedah, semalam dan mereka ini dikesan adalah ejen kastam yang bersubahat mengemukakan maklumat palsu.

Siasatan SPRM mendedahkan, suspek bersubahat bersama pemilik kereta terbabit mengemukakan dokumen mempunyai maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam.

Bagaimanapun, satu sumber mendedahkan, kenderaan mewah itu tidak layak mendapat pengurangan penilaian duti kastam.

Antara jenis kenderaan mewah dirampas setakat ini adalah jenis McLaren dan Ferrari namun difahamkan terdapat banyak lagi kenderaan mewah lain.

"Kesemua suspek yang ditahan ialah lelaki berusia lingkungan 30an hingga 60an itu di Pejabat SPRM Kedah antara jam 5 petang hingga 10.30 malam, semalam ketika mereka hadir memberi keterangan.

"Sindiket ini menyebabkan ketirisan cukai kastam berjumlah kira-kira RM33 juta," kata sumber, itu lagi.

Difahamkan, selain Kedah, siasatan SPRM kini bergerak ke Lembah Klang, Johor, Perak dan Sabah.

"SPRM juga membuat serbuan di beberapa premis perniagaan, pejabat agensi kerajaan serta kediaman," kata sumber.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Majistret Nurshahida binti Abdul Rahim membenarkan kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 17 Julai, selepas SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 3:16 PM