Izz Laily Hussein

Johor Bahru : Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sejumlah RM8.94 juta bagi tujuan penyelenggaraan kolam tadahan air di seluruh negeri ini.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, peruntukan itu disalurkan kepada semua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini membabitkan 28 projek kolam tadahan air.

"Dari segi fokus KPKT dalam membantu PBT, untuk tahun ini, kita meluluskan dan bersedia memberikan peruntukan sebanyak RM8.94 juta kepada negeri Johor melalui PBT untuk selenggara kolam tadahan air.

"Saya sendiri akan pastikan bahawa pihak PBT dapat melaksanakan kerja ini dengan sebaik dan sesempurna mungkin.

"28 kolam tadahan air ini perlu disiapkan tahun ini sebab dari segi belanjawan, ia termasuk dalam belanjawan tahun 2023, sepatutnya memang boleh disiapkan dalam tempoh empat hingga lima bulan, kalau susunan itu lebih teratur mungkin boleh siap lebih cepat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Peruntukan Projek Kolam Tadahan Pangsapuri Taman Larkin Idaman, Plot C di ini, hari ini.

AKMAL Nasrullah (tiga kanan) hadir di  Majlis Penyerahan Peruntukan Projek Kolam Tadahan Pangsapuri Taman Larkin Idaman, Plot C. FOTO Izz Laily Hussein
AKMAL Nasrullah (tiga kanan) hadir di Majlis Penyerahan Peruntukan Projek Kolam Tadahan Pangsapuri Taman Larkin Idaman, Plot C. FOTO Izz Laily Hussein

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Mohd Noorazam Osman.

Akmal Nasrullah pada masa sama berkata, KPKT masih mengalu-alukan sekiranya terdapat lagi kolam tadahan air dalam senarai PBT yang bersesuaian untuk diselenggara dan ditambah baik.

"Jika ada, kita akan teliti," katanya.

Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru dalam siri lawatan kerja melihat sendiri persiapan atau kesiapsiagaan MBJB dalam menguruskan keadaan banjir kilat yang semakin kerap berlaku di bandar raya ini.

Beliau yang melawat kawasan Kolam Tadahan Air Pangsapuri Taman Larkin Idaman, Plot C itu berkata, peruntukan yang diluluskan KPKT bagi projek selenggara kolam tadahan itu berjumlah RM500,000.

"Bagi kolam tadahan di sini, kerja-kerjanya merangkumi bukan sahaja dibersihkan, tetapi mendalamkan dan membina semula kolam ini bagi mengelakkan hakisan dan sebagainya.

"Apabila kolam tadahan di sini siap diselenggara, ia akan memberi kelegaan juga kepada kawasan lain yang berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 1:03 PM