AKMAL Nasrullah meninjau keadaan terkini projek Sentoria Harta di Morib. FOTO Faiz Anuar
AKMAL Nasrullah meninjau keadaan terkini projek Sentoria Harta di Morib. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti isu utama yang menyebabkan tiga projek perumahan swasta berstatus sakit di daerah ini membabitkan Taman Bentara 15, Taman Jugra Cemerlang dan Sentoria Harta di Morib, di sini.

Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, projek berkenaan dikategorikan sakit disebabkan masalah dalaman pemaju dalam mendapatkan bekalan bahan binaan akibat peningkatan kos setelah tempoh pandemik berakhir selain isu berkaitan kelulusan sambungan air interim untuk keseluruhan projek.

Menurutnya, beliau bersama pasukan Task Force Projek Perumahan Sakit dan Terbengkalai (TFST) melakukan lawatan turun padang bagi melihat perkembangan terkini tiga projek berkenaan, hari ini.

"Pada masa ini, pemaju sedang berusaha menjalankan kerja-kerja penyiapan projek bagi memenuhi keperluan mendapatkan kelulusan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan.

"KPKT melalui TFST melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi projek ini termasuk membuat pemeriksaan lawatan tapak secara berkala dan mengeluarkan arahan bagi mengemukakan laporan bulanan.

"TFST turut menguatkuasakan Seksyen 10E(1)(a) Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dengan memanggil mesyuarat bersama pemaju serta menyenarai hitam syarikat pemaju dan Ahli Lembaga Pengarah," katanya dalam sidang media selepas meninjau perkembangan projek berkenaan, hari ini.

Akmal berkata, sehingga 31 Julai lalu, kesemua projek terbabit berstatus sakit di mana kelewatan melebihi 60 peratus daripada kemajuan sebenar.

"Antara masalah dihadapi adalah kelewatan bekalan kabel Tenaga Nasional Berhad oleh pihak pembekal, kelewatan mendapatkan bekalan bahan binaan dan pemaju menghadapi masalah kewangan disebabkan oleh peningkatan kos bahan binaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 4:07 PM