ENAM cedera selepas bas ekspres dinaiki melanggar belakang sebuah lori di KM257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan. FOTO ihsan JBPM Perak
ENAM cedera selepas bas ekspres dinaiki melanggar belakang sebuah lori di KM257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan. FOTO ihsan JBPM Perak
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Enam cedera ringan selepas bas ekspres yang dinaiki melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 257 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan iaitu sebelum Terowong Menora di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, ketika kejadian terdapat 26 mangsa berada di dalam bas itu dengan enam daripadanya cedera ringan.

Menurutnya, panggilan kecemasan berhubung insiden diterima jam 2.46 pagi tadi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar bergegas ke lokasi bagi operasi menyelamat.

Katanya, berdasarkan maklumat pemandu, bas itu yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur melanggar belakang sebuah lori.

"Bagaimanapun ketika anggota bomba tiba, didapati lori berkenaan sudah tiada di tempat kejadian.

"Terdapat 26 mangsa di dalam bas dengan enam daripadanya cedera ringan manakala 20 yang lain selamat.

"Bomba membuat rawatan awal sebelum membawa mangsa cedera ke hospital menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta bantuan daripada ambulans Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Beliau berkata, operasi ditamatkan 3.40 pagi tadi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, bas terbabit menghadapi masalah brek menyebabkan pemandu terpaksa melanggar pembahagi jalan untuk menghentikan kenderaan bagi mengelakkan risiko kemalangan lain terjadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 12:29 PM