Keadaan bas persiaran yang remuk di bahagian depan selepas terbabit kemalangan dengan lori ais di KM 200 Lebuh Raya Utara Selatan, pagi tadi. Foto Ihsan JBPM Melaka
Keadaan bas persiaran yang remuk di bahagian depan selepas terbabit kemalangan dengan lori ais di KM 200 Lebuh Raya Utara Selatan, pagi tadi. Foto Ihsan JBPM Melaka
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Lima cedera dalam kemalangan membabitkan bas persiaran dan lori muatan ais di Kilometer 200 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, dekat sini, awal pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Mohd Fadil Saidin berkata, panggilan kecemasan diterima daripada orang awam berhubung kemalangan itu pada 1.47 pagi.

Katanya, sepasukan sembilan pegawai dan anggota tiba di lokasi, 2.09 pagi.

"Sejurus tiba didapati kemalangan membabitkan bas persiaran dinaiki 17 penumpang dengan lori muatan ais.

"Lima mangsa mengalami kecederaan iaitu tiga lelaki dan seorang wanita penumpang bas dan pemandu lori ais.

"Semua mangsa sudah dikeluarkan daripada kenderaan sebelum pasukan bomba tiba dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Melaka dengan ambulans KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," katanya dihubungi di sini.

Mohd Fadil berkata, 14 penumpang lain tidak cedera dan pihaknya turut membersihkan tumpahan minyak dan sisa kemalangan di lokasi dan operasi selesai 3 pagi.

Sementara itu, saksi kejadian, R Vikkines, 27, berkata, sebelum kemalangan, bas persiaran itu memotong lori dipandu rakannya di lorong kiri.

"Tiba-tiba bas itu terbabas ke kiri selepas melanggar lori ais di hadapannya sebelum masuk semula ke lebuh raya.

"Saya rasa bas itu dipandu sekitar 100 kilometer sejam kerana kelajuan lori kami 90 kilometer sejam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 10:10 AM