TAN Sri Lee Lam Thye. FOTO Arkib NSTP.
TAN Sri Lee Lam Thye. FOTO Arkib NSTP.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman 2023 yang dijangka dibentangkan Oktober depan, akan dapat mengurangkan kerenah birokrasi selain membantu meningkatkan integriti dan kecekapan pentadbiran di semua jabatan serta agensi kerajaan.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penubuhan Ombudsman Malaysia adalah satu langkah progresif.

"Masanya sudah tiba untuk penubuhan Ombudsman Malaysia kerana ia boleh mendengar dan menyiasat kes penyelewengan dengan lebih telus.

"Pelaksanaan inisiatif ini akan menjadikan penubuhan sistem Ombudsman sebagai satu langkah tepat untuk menangani semua rungutan orang ramai terhadap kelemahan semua jabatan dan agensi," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan dalam peringkat akhir memuktamadkan RUU Ombudsman 2023 bagi mendapatkan pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dipetik berkata, RUU Ombudsman yang sudah dibuat perubahan dasar itu diharap dapat dibentang di Parlimen pada Oktober ini.

Ombudsman yang akan dicadangkan berfungsi untuk menerima, mengendali dan menyelesaikan aduan berkaitan salah tadbir sistem penyampaian perkhidmatan awam bagi meningkatkan tadbir urus baik.

Beberapa pindaan kepada dasar dilakukan antaranya mewujudkan kuasa menyiasat sistem itu, selain memastikan jangka masa tidak terlalu lama diambil dalam menangani aduan awam.

Mengulas lanjut, Lee berkata, Ombudsman ialah rakan dan pelindung rakyat yang diamanahkan untuk menyiasat secara peribadi dakwaan kesalahan dilakukan pelbagai pihak berkuasa awam ke atas masyarakat.

Beliau berkata, Malaysia pernah mempertimbangkan sistem sedemikian pada awal 1970-an selain sudah mengkaji model Ombudsman New Zealand bagi pelaksanaannya.

Bagaimanapun, katanya, ia ditangguhkan dan Biro Pengaduan Awam ditubuhkan sebagai ganti.

"Hampir semua negara maju mempunyai Ombudsman dan ini adalah langkah yang tepat pada masanya untuk menangani rungutan orang ramai terhadap pihak berkuasa awam.

"Ia selaras penekanan kerajaan baharu untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam yang terbaik demi kepentingan orang ramai," katanya.

Beliau berharap Ombudsman dapat diwujudkan selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 12:38 PM