Paya Linda Yahya


Gua Musang: Seorang kanak-kanak Orang Asli, Alang Kuang, 8, menyaksikan bapa saudaranya diterkam harimau ketika mereka memancing di Hulu Sungai Aring 5 di sini, kelmarin.

"Saya saksikan harimau terkam pakcik di bahagian kepalanya," katanya.

Alang yang ditemui di rumah keluarganya di Kampung Aring 5 di sini, adalah satu-satunya saksi kejadian Halim Asin, 27, diterkam harimau sebelum hilang pada kejadian terbabit.

Alang ditemani ahli keluarga sebagai perantara kerana tidak fasih berbahasa Melayu.

Alang juga masih trauma dengan kejadian yang berlaku sewaktu dia dan bapa saudaranya itu sedang memancing di lokasi berkenaan.

Menurut Alang, dia yang terkejut dengan kejadian itu terjun ke dalam sungai dan berenang menuju ke lokasi keluarganya berkhemah.

"Saya terus beritahu datuk, Asin Parang yang berusia 68 tahun, bahawa pakcik diserang harimau," katanya.

Sementara itu, Asin berkata, Alang berlari ke arahnya dalam keadaan menangis dan ketakutan.

Katanya selepas dimaklumkan berkaitan kejadian, dia berlari ke lokasi terbabit yang berjarak kira-kira 500 meter daripada tempat mereka berkhemah.

"Tiba di lokasi, saya dapati Halim sudah tiada. Kami bertujuh kemudiannya berakit ke Kampung Aring 5 kerana bimbang harimau terbabit menyerang semula.

"Saya maklumkan kepada penduduk kampung berkaitan kejadian menimpa Halim sebelum membuat laporan di Balai Polis Paloh," katanya.

Asin berkata, masih tergiang kata-kata Halim yang ingin ke sungai untuk memancing ikan sebagai lauk mereka pada hari itu.

"Halim keluar memancing sebelum sempat makan. Dia berjaya mengail seekor ikan sebarau untuk dijadikan lauk kami.

"Saya terkilan yang Halim tidak sempat menjamah ikan dipancingnya. Kami tujuh beranak juga tidak makan ikan berkenaan akibat kejadian terbabit," katanya.

Asin berharap Halim ditemukan segera dan pula tidak dapat menyertai operasi mencari dan menyelamat kerana masih sakit kaki.

"Hanya menantu, Kuang Camang, berusia 31 tahun, yang menyertai operasi itu.

"Saya juga berharap harimau terbabit segera ditangkap," katanya.

Harian Metro melaporkan, seorang lelaki yang juga anggota masyarakat Orang Asli suku kaum Batek dikhuatiri menjadi mangsa serangan harimau ketika memancing di Sungai Aring 5.

Pada kejadian jam 11.30 pagi, Halim sedang memancing bersama anak saudaranya iaitu Alang sebelum diserang haiwan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 3:25 PM
Alang menunjukkan gambar harimau yang di percayai menyerang bapa saudaranya dalam kejadian di Hulu Sungai Aring 5, kelmarin. FOTO Paya Linda Yahya
Alang menunjukkan gambar harimau yang di percayai menyerang bapa saudaranya dalam kejadian di Hulu Sungai Aring 5, kelmarin. FOTO Paya Linda Yahya