Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis menahan lelaki warga emas kerana melepaskan tembakan yang mencederakan seorang wanita di Serian, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian di Batu 37, Jalan Kuching-Serian itu pada 8.10 pagi.

Menurutnya, berikutan kejadian wanita berusia 39 tahun yang bekerja di sebuah syarikat konkrit mengalami kecederaan di tangan dan bahu kanan.

"Suspek ditahan oleh orang awam sejurus kejadian dan kemudian diserahkan kepada polis. Dia kini ditahan di lokap Balai Polis Serian sementara mendapatkan perintah tahanan reman.

"Mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas selaras senapang patah yang digunakan suspek dalam kejadian itu.

"Difahamkan suspek adalah bekas rakan sekerja mangsa di syarikat berkenaan dan polis masih meneliti motif dia melepaskan tembakan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 10:07 PM