GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tindakan berani seorang guru wanita menarik 'topeng' penceroboh di kediamannya di Kampung Jawa, Sungai Menaul, di Jalan Esengai, Serian, awal pagi hari ini, berjaya mengelakkannya dari menjadi mangsa rompakan.

Mangsa yang berusia 48 tahun itu menyedari rumahnya diceroboh selepas mendengar bunyi pagar di pintu bahagian dapur dibuka pada 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, mangsa yang terjaga dari tidur selepas mendengar bunyi itu, segera meninjau keadaan.

Menurutnya, apabila sampai di bahagian dapur, mangsa mendapati pintu terbuka dan dia terserempak seorang lelaki bersenjatakan pisau yang menutup kepalanya dengan baju sebagai topeng.

"Mangsa bertindak berani menghampiri penceroboh itu dan menarik baju menutup kepala penceroboh itu hingga tertanggal sambil menjerit meminta tolong," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Aswandy berkata, terkejut dengan tindakan berani wanita terbabit, penceroboh itu bersama seorang lagi rakannya terus melarikan diri tanpa sempat merompak mangsa.

"Mangsa pula selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan dan kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Serian, Asisten Superintendan Alias Nen berjaya menahan dua suspek di sebuah rumah tidak bernombor Kampung Menaul, Serian, pada jam 5.30 petang, hari ini.

"Turut dirampas daripada kedua-dua suspek berusia 22 dan 23 tahun itu senjata tajam dan pakaian yang mereka gunakan ketika kejadian.

"Saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis syabu," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan rompakan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tujuh tahun dan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 9:20 PM