SUSPEK remaja lelaki disyaki melakukan seks luar tabii terhadap seorang kanak-kanak di Kampung Hilir Serian ditahan polis. FOTO IHSAN PDRM
SUSPEK remaja lelaki disyaki melakukan seks luar tabii terhadap seorang kanak-kanak di Kampung Hilir Serian ditahan polis. FOTO IHSAN PDRM
Garret Dawum


PADAH melakukan seks luar tabii terhadap kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, seorang remaja lelaki ditahan di Kampung Serian Hilir, Serian, semalam.

Perbuatan terkutuk suspek berusia 14 tahun terbongkar susulan laporan polis dibuat ibu mangsa selepas anaknya mengadu sakit pada dubur.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, ibu mangsa mendakwa suspek memanggil anaknya masuk ke dalam rumah sebelum melakukan hubungan seks luar tabii.

“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 10 pagi ketika ketiadaan ibu mangsa di rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aswandy berkata, akibat kejadian itu, mangsa trauma dan takut serta sudah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengenali suspek tetapi tiada hubungan persaudaraan.

“Suspek juga didapati sudah tidak bersekolah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, remaja lelaki dipercayai merogol jirannya yang juga wanita orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran berusia 24 tahun sudah ditahan.

“Suspek berusia 17 tahun ditahan kira-kira jam 11.10 malam di rumahnya,” kata Aswandy.

Dalam kejadian itu, perbuatan jijik remaja terbabit wanita itu terbongkar selepas mangsa melahirkan seorang bayi lelaki di HUS, Khamis lalu.

Susulan itu, ibu mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 2:13 PM