KENDERAAN dipandu warga emas terbalik di Kilometer 43, Jalan Kuching-Serian, hari ini. FOTO Ihsan  IPD Serian.
KENDERAAN dipandu warga emas terbalik di Kilometer 43, Jalan Kuching-Serian, hari ini. FOTO Ihsan IPD Serian.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Lelaki warga emas maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dipandunya yang terbalik di Kilometer 43, Jalan Kuching-Serian, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, kejadian jam 4.43 petang itu berlaku ketika mangsa memandu dari arah Kuching menghala ke Serian.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan.

"Kenderaan itu kemudian terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar tebing sebelum terbalik.

"Akibat kejadian itu, pemandu, Peter Tay Kok Fah berusia 64 tahun tercampak keluar dari kenderaan dan jatuh ke dalam parit," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Aswandy berkata, mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh anggota paramedik dari Hospital Serian yang tiba di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serian untuk proses bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 12:05 AM