Khairulmizan Yahya

Kuantan: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sedang meneliti laporan salah laku pegawai dan anggotanya yang dikatakan tidak diambil tindakan seperti yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Jabatan Integriti dan Pemantauan Standard (JIPS) Bukit Aman sudah menyediakan laporan lengkap berkaitan isu berkenaan.

"Pada masa sama, kita sedang meneliti mana satu laporan yang dikatakan kita tidak maklumkan kepada SPRM untuk tindakan yang patut diambil terhadap mereka yang terlibat.

"Saya ingin memberi jaminan bahawa PDRM tidak pernah berkompromi atau leka malah sentiasa bekerjasama erat dengan setiap agensi untuk memastikan bahawa integriti dalam PDRM sentiasa ditegakkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pemakaian Pangkat, Serah Terima Tugas, Ketua Polis Pahang dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, PDRM tidak pernah mengambil ringan isu berkaitan tindakan yang perlu diambil terhadap pegawai dan anggotanya yang melakukan kesalahan tata tertib.

"Kita akan sentiasa berikan kerjasama kepada bukan sahaja SPRM, malah SIAP (Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa) untuk memaklumkan kepada mereka tindakan-tindakan yang sepatutnya dan sewajarnya diambil.

ACRYL Sani ketika sidang media pada Majlis Pemakaian Pangkat, Serah Terima Tugas, Ketua Polis Pahang dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Pahang di IPK Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang
ACRYL Sani ketika sidang media pada Majlis Pemakaian Pangkat, Serah Terima Tugas, Ketua Polis Pahang dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Pahang di IPK Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang

"Mungkin ada dalam proses, ada yang lambat dihantar tetapi tidak ada laporan yang kita ketepikan atau kita tidak susuli dengan tindakan kerana kita memandang serius apa juga pelanggaran tata tertib oleh mana-mana pihak.

"Kita sentiasa berpegang teguh dengan integriti dalam apa juga yang kita lakukan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mendedahkan beberapa agensi kerajaan mengabaikan lebih 500 laporan salah laku kakitangan mereka, walaupun pihaknya mengesyorkan untuk mengambil tindakan dengan 125 daripada laporan itu membabitkan anggota PDRM.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, mantan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman dilantik sebagai Ketua Polis Pahang ke-35 menggantikan Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf yang akan mengambil alih jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 2:52 PM