IBU Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO arkib NSTP
IBU Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1, Bukit Aman, Datuk Baharuddin Ahmad dilantik sebagai pemangku Pengarah Cawangan Khas bagi menggantikan Pengarah Cawangan Khas Datuk Seri Zamri Yahya.

Majlis serah terima tugas berlangsung di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini dengan disaksikan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sany Abdullah Sani.

Selain itu majlis serah terima tugas terbabit turut membabitkan penyerahan jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Cawangan Khas daripada Datin Seri Dr Sazilah Ahmad Sarji kepada Datin Hasimah Yon Abdul Latif dengan disaksikan Pengerusi Perkep Malaysia, Puan Sri Ir Zaitun Mohd Isa.

Acryl Sany berkata, beliau mengucapkan terima kasih atas kepimpinan cemerlang dan menyanjung tinggi kesetiaan serta khidmat bakti Zamri sepanjang berkhidmat kepada pasukan selama 36 tahun.

"Syabas dan tahniah juga kepada Datuk Baharuddin di atas pelantikan sebagai pemangku Pengarah Cawangan Khas serta Datin Hasimah Yon sebagai pemangku Pengerusi Perkep Cawangan Khas.

"Saya yakin berbekalkan pengalaman yang luas dalam bidang penugasan cawangan khas beliau mampu memikul amanah yang diberikan ini dengan cemerlang," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 6:09 PM