Izz Laily Hussein

Johor Bahru : "Saya pilih untuk tidak komen tentang ini (senarai kabinet), biar Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan esok, seperti yang dilaporkan," kata Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Salahuddin yang juga Naib Pengerusi Pakatan Harapan (PH) ketika ditanya mengenai senarai kabinet yang belum diumumkan Anwar selaku Perdana Menteri, beliau berkata, mana-mana ahli parlimen termasuk dirinya menyerahkan birokrasi itu kepada Anwar untuk memilih barisan jemaah menteri.

"Saya masih tidak tahu. Saya dan Chin Tong (Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong) serahkan kepada Perdana Menteri untuk pilih yang terbaik antara kami, jadi biar beliau (Anwar) putuskan," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram itu masih dengan pendirian untuk tidak memberi sebarang maklum balas walaupun ketika ditanya mengenai harapan beliau dan kuota dalam pembentukan jemaah menteri itu nanti.

Terdahulu, Salahuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Johor ditemui selepas menziarahi mangsa ribut di Parlimen Pulai.

Turut bersama dalam lawatan itu, Liew yang juga Adun Perling.

SALAHUDDIN (kiri) menziarahi mangsa ribut di kawasan Parlimen Pulai. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
SALAHUDDIN (kiri) menziarahi mangsa ribut di kawasan Parlimen Pulai. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Mengulas mengenai kejadian ribut yang melanda bandar raya ini petang semalam, Salahuddin berkata, beliau sudah menghubungi Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman untuk membantu dalam proses pembersihan.

Beliau berkata, bagi pihak parti juga, beliau dan Liew sudah mendapatkan bantuan untuk pemberian bantuan kepada mangsa terbabit.

"Pihak MBJB akan datang untuk melihat apa yang boleh dibuat di kawasan yang terjejas akibat ribut semalam.

"Kami sebagai parti, kami akan beri mereka (mangsa) bantuan, walaupun tidak banyak, tetapi kami akan beri segera.

"Sebagai Ahli Parlimen kami sudah membuat permintaan khas kepada Perdana Menteri untuk memberikan bantuan kecemasan," katanya.

Dalam insiden ribut semalam, hampir 30 kediaman di kawasan Parlimen Pulai rosak apabila bumbung diterbangkan, manakala kira-kira 13 gerai turut terjejas.

"Saya difahamkan ada juga seorang dua yang cedera, tetapi stabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 8:08 PM