Mohd Roji Kawi


Kuching: Kerajaan sedia meneliti cadangan agar Akta Iklan Gaji digubal untuk mewajibkan majikan negara ini mengiklan tangga gaji bagi pekerjaan yang ditawarkan.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, setiap cadangan yang memberi manfaat kepada rakyat akan diteliti sebaik mungkin.

"Saya tidak boleh membuat kata putus sekarang, kerana ini membabitkan dasar, sebab itu kita perlu memperincikannya (bersama pelbagai pihak).

"Jika cadangan itu baik untuk rakyat, kita akan usaha untuk laksanakan," katanya pada sidang media selepas Program Dialog Majikan Bersama Menteri Sumber Manusia di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Gerawat Gala dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak, Awang Raduan Awang Omar.

Sivakumar berkata demikian mengulas cadangan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abd Rahman berhubung perkara itu.

Syed Saddiq dilapor berkata, disebabkan majikan tidak diwajib mengiklan gaji seperti dibuat negara maju, ia menyebabkan pekerja termasuk graduan meletakkan tangga gaji lebih rendah ketika memohon pekerjaan kerana kekurangan maklumat.

Sementara itu, mengenai dasar sistem gaji progresif yang diputuskan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) baru-baru ini, Sivakumar berkata, dasar itu menjadi jalan penyelesaian terbaik dalam isu gaji, dengan situasi menang-menang terhadap majikan dan pekerja.

Menurutnya, gaji minimum RM1,500 yang ditetapkan sekarang akan terus diletakkan di dalam kerangka pelaksanaan sistem gaji progresif.

"Pelaksanaan sistem gaji progresif bergantung kepada latihan, kemahiran dan pengetahuan yang boleh meningkatkan produktiviti untuk majikan.

"Pada masa yang sama pekerja yang mempunyai kemahiran serta pengetahuan itu akan dibayar dengan gaji yang setimpal, yang bermakna kedua-dua pihak berada dalam situasi menang-menang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 5:54 PM