AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Hajah Azizah berkenan mengiringi Raja Bhutan Jigme Khesar Namgyel Wangchuck (tiga, kanan) dan Permaisuri Bhutan Jetsun Pema (kanan) melawat produk kraf yang dipamerkan di Pavilion Antarabangsa Malaysia. FOTO Bernama
AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Hajah Azizah berkenan mengiringi Raja Bhutan Jigme Khesar Namgyel Wangchuck (tiga, kanan) dan Permaisuri Bhutan Jetsun Pema (kanan) melawat produk kraf yang dipamerkan di Pavilion Antarabangsa Malaysia. FOTO Bernama
BERNAMA

London: Pavilion Antarabangsa Malaysia yang diadakan sempena Minggu Kraf London 2023 (LCW), pada Isnin menerima tetamu diraja Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Bhutan Jigme Khesar Namgyel Wangchuck dan Permaisuri Jetsun Pema.

Turut berangkat ke pameran yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang mengetuai delegasi Malaysia dalam pameran bermula Sabtu sehingga 14 Mei, berkenan menyampaikan taklimat berhubung pameran bertemakan "Abstract Nature" (Abstrak Alam Semula Jadi).

Raja Bhutan dan Permaisuri Bhutan berada di London atas persilaan rasmi Raja Charles III bagi menghadiri Istiadat Pertabalan baginda sebagai Pemerintah United Kingdom (UK) di Westminster Abbey pada Sabtu.

Tetamu diraja berkenaan meluangkan masa selama satu jam melihat pameran seni kraf dan produk warisan yang memaparkan landskap budaya Malaysia yang kaya melalui keunikan tradisi kraf dan produk warisan masyarakat Malaysia khususnya Melayu, Orang Asli Semelai dari Pahang, Mah Meri (Selangor) di Semenanjung Malaysia serta suku kaum etnik Orang Asal di Sabah dan Sarawak.

Pameran edisi kedua Malaysia sempena Minggu Kraf London kali ini turut mengetengahkan Songket Terengganu dan telepuk (teknik menghias tekstil).

Penyertaan Malaysia dalam pameran itu diketuai oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja dan disokong oleh Kerajaan Persekutuan (Kementerian Luar), Kerajaan Pahang dan Sarawak, Kraftangan Malaysia dan Songket Diraja Terengganu.

Selain tetamu diraja, turut menghadiri pameran itu ialah Duta Monaco ke United Kingdom Evelyne Genta, Pengerusi London Craft Week Guy Salter dan dari Malaysia, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tiba di London, pada Rabu lepas, bagi mengadakan lawatan khas hingga 14 Mei, atas persilaan rasmi Raja Charles III bagi menghadiri Istiadat Pertabalan baginda sebagai Ketua Negara UK.

Terletak antara China dan India, Bhutan adalah sebuah negara kecil di Himalaya, dan negara paling hijau di dunia. Dilaporkan, lebih 70 peratus negara itu diliputi oleh hutan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 9:46 AM