PELAJAR maut selepas motosikal dirempuh pacuan empat roda di Bukit Pasir, Muar. FOTO Ihsan Polis
PELAJAR maut selepas motosikal dirempuh pacuan empat roda di Bukit Pasir, Muar. FOTO Ihsan Polis
Ali Iqbal


Muar: Seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas motosikalnya dirempuh pacuan empat roda di Jalan Naib Kadir, Bukit Pasir, di sini, semalam.

Dalam kejadian 8.23 malam, mangsa Muhammad Ulwan Ajwad Mohd Amin yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Pasir maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan berlaku apabila pacuan empat roda Nissan Navara yang dipandu lelaki berusia 43 tahun dari Segamat cuba memotong kenderaan di hadapannya.

Katanya, bagaimanapun tindakannya gagal menyebabkan kenderaan dipandunya merempuh motosikal ditunggang Muhammad Ulwan dari arah bertentangan.

"Rempuhan itu menyebabkan mangsa terpelanting dan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu pacuan empat roda yang juga pekerja kilang ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 10:37 PM