KEADAAN pacuan empat roda yang merempuh mangsa.
KEADAAN pacuan empat roda yang merempuh mangsa.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Hasrat seorang remaja menyertai larian patriotik Larian Bendera Negaraku sempena program Ekspresi Negaraku, di sini, tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal ditunggang bertembung pacuan empat roda berdekatan Kampung Kuala Dal, Jalan Kuala Kangsar-Taiping, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, mangsa, Muhammad Haikal Abdul Latif, 15, maut di lokasi kejadian akibat parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Superintendan Ahmad Termizi Abd Haq berkata, siasatan mendapati motosikal ditunggang mangsa dari Padang Rengas ke Kuala Kangsar dirempuh Nissan Navara dari arah bertentangan yang tidak sempat memotong sebuah lori di hadapannya.

“Mangsa tercampak 15 meter di atas jalan dan cedera di beberapa anggota badan termasuk tangan dan kaki kanannya.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarganya serta kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 5:42 AM