Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Persatuan Penjual Akhbar dan Buku Negeri Pulau Pinang (PENBA) mencadangkan gerai jualan akhbar dan majalah diwujudkan semula di hentian bas negeri ini bagi meneruskan kesinambungan sektor berkenaan.

Ia susulan ramai penjual akhbar dan majalah yang terkesan sejak pandemik Covid-19 selain 'bersaing' dengan kepesatan era digital dan bahan bacaan dalam talian sehingga masyarakat kurang gemar membeli naskah bercetak.

Presidennya, M Murugesu berkata, kenaikan harga naskah surat khabar dan majalah juga menyebabkan bahan berkenaan kurang mendapat sambutan sejak empat tahun kebelakangan ini.

Katanya, jumlah ahli PENBA juga sudah menurun iaitu daripada lebih 100 kepada 78 orang dan dijangka akan terus merosot.

"Peningkatan kos dan harga bahan antara faktor utama (kemerosotan) dan kita bimbang pada masa akan datang, ia akan merudum namun semuanya bergantung kepada keadaan semasa ekonomi.

"Jadi, kita cadangkan supaya gerai jualan di hentian bas diwujudkan semula yang bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban dihadapi penjual tetapi menarik minat membaca masyarakat ketika menunggu bas," katanya kepada media di sini, semalam.

Mengulas lanjut Murugesu berkata, cadangan itu akan diusulkan kepada kerajaan negeri bagi dipertimbangkan.

"Pada masa ini, kami menjual akhbar dan buku secara sambilan selain mencari jalan penyelesaian terhadap isu itu," katanya lagi.

Terdahulu, Murugesu ditemui ketika Majlis Ulang Tahun ke-52 PENBA di Lorong Abu Siti, di sini, yang dihadiri seramai 450 ahli bersama keluarga.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying; Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy.

Pada majlis itu, PENBA turut menerima dana daripada beberapa pihak termasuk kerajaan negeri yang keseluruhannya berjumlah RM18,000, bagi kegunaan persatuan termasuk membiayai insurans pekerja mereka.

Sementara itu Pengurus Akaun (Edaran dan Pengeluaran) The New Straits Times Press (M) Berhad Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Wan Zarifah Wan Ibrahim yang turut hadir pada majlis itu berkata, Kumpulan NSTP turut menyumbangkan dana sebanyak RM3,000 bagi kegunaan majlis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 12:43 PM