Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pengumuman sambutan Aidilfitri membuatkan penumpang bas yang membeli tiket perjalanan hari ini bergegas ke Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) malam tadi, untuk menukar jadual perjalanan.

Tinjauan mendapati lebih 20 penumpang yang sudah membeli tiket untuk pulang ke destinasi masing-masing ke kaunter tiket berpusat (CTS) untuk membuat pertukaran perjalanan malam tadi.

Bagaimanapun, impian mereka untuk menukar tiket perjalanan hampa apabila semua bas ekspres penuh dengan penumpang yang sudah membuat tempahan perjalanan.

Difahamkan, sebanyak 18 bas ekspres daripada Kuala Terengganu ke Johor Baharu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan malam tadi.

Seorang penumpang, Bazir Abdul Muin, 43, dari Johor Bharu mengakui membuat tempahan tiket untuk pulang berhari raya bersama keluarga hari ini.

Bagaimanapun, katanya, dia ke CTS di Hentian Bas MBKT untuk membuat pertukaran perjalanan, tetapi hampa apabila semua perjalanan malam tadi sudah penuh.

"Kita membuat tempahan tiket untuk pulang berhari raya bersama keluarga sejak awal Ramadan lalu.

"Kita membuat tempahan tiket untuk perjalanan esok (Isnin) kerana beranggapan Aidilfitri pada Selasa, tetapi reda dan terpaksalah menyambut Syawal bersama rakan pada hari raya pertama," katanya.

Falizah Abdul Kadir, 35, yang berkerja sebagai jurujual di Pasar Payang berkata, dia bernasib baik kerana membuat tempahan perjalanan untuk pulang berhari raya bersama keluarga di Seremban, Negeri Sembilan, malam tadi.

"Kami yang menganggap sambutan Aidilfitri pada Selasa bercadang berbuka puasa bersama keluarga dan membawa ibu membeli biskut raya di Seremban esok, tetapi terpaksa reda apabila diumumkan esok (hari ini) hari raya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Terminal CTS Kuala Terengganu, Muhammad Fadzrin Hazahar, berkata sebanyak 18 perjalanan bas ekspres ke beberapa negeri termasuk ke Utara dan Selatan malam tadi.

Katanya, penumpang yang sudah membuat tempahan tiket tidak boleh membuat penukaran perjalanan.

"Tetapi ada beberapa penumpang bernasib baik dapat pulang ke destinasi malam ini susulan membuat penukaran tiket suka sama suka dengan penumpang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 12:03 AM