Nazdy Harun

Kuala Nerus: Fenomena cuaca panas melampau bagai memberi kelebihan kepada pengusaha belacan dan ikan bilis kerana hanya memerlukan waktu singkat untuk mengeringkan hasil laut berkenaan.

Pengusaha, Muhammad Aimy Shahril Mat Ali, 22, dari Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir, di sini, berkata buat masa sekarang, pengeringan udang geragau dan ikan bilis hanya mengambil tempoh empat hingga lima jam saja.

Menurutnya, sekiranya cuaca tidak panas dia memerlukan tempoh satu hingga dua hari untuk mengeringkan udang geragau yang akan diproses untuk dijadikan belacan manakala ikan bilis kering boleh dijual terus kepada pelanggan.

"Cuaca panas sejak awal Mac lalu memberi kelebihan kerana kami memerlukan waktu singkat sahaja untuk memproses hasil laut yang dibawa pulang nelayan.

"Kebiasaannya waktu panas sebegini akan berlanjutan hingga akhir Jun dan selepas itu berlaku peralihan monsun yang membawa taburan hujan," katanya.

PEKERJA sedang melakukan aktiviti menjemur ikan bilis berikutan cuaca panas dan memudahkan hasil laut itu untuk kering. FOTO Nazdy Harun
PEKERJA sedang melakukan aktiviti menjemur ikan bilis berikutan cuaca panas dan memudahkan hasil laut itu untuk kering. FOTO Nazdy Harun

Menurutnya, cuaca panas ibarat 'bonus' buatnya yang bergantung kepada cahaya matahari untuk mengeringkan hasil laut setiap hari sebelum diproses untuk dipasarkan.

Katanya, setiap tahun akan berlaku musim panas seperti yang berlaku kini, namun tempohnya berbeza.

"Adakalanya waktu panas singkat ada masanya panjang, namun bagi saya anugerah Allah SWT ini ada manfaatnya.

"Sekiranya tiba musim hujan, saya terpaksa menggunakan kaedah salai, namun dengan keadaan panas sekarang memadai hanya dengan menjemur," katanya.

Katanya, cuaca panas amat diperlukan untuk menghasilkan belacan dan ikan bilis yang berkualiti serta tahan lama untuk disimpan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 3:19 PM