MUZLIADI sedang menjemur belacan yang dihasilkan. FOTO Nazdy Harun
MUZLIADI sedang menjemur belacan yang dihasilkan. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun

Kuala Nerus: Keadaan cuaca baik ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) amat bermanfaat bagi mengeringkan hasil laut secara tradisional.

Pengusaha belacan Muhammad Aimy Shahril Mat Ali, 22, dari Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir, di sini, berkata ia membolehkan belacan dijemur dengan sempurna walaupun mengambil sedikit masa.

"Kalau panas cukup, biasanya dua atau tiga jam sudah memadai untuk ketulan belacan diangkat, namun pada musim sekarang mengambil masa empat hingga lima jam untuk kering sepenuhnya.

"Musim MTL boleh dikatakan panjang dan ada masanya terbit juga matahari dan bukannya hujan sepanjang masa. Oleh itu ketika terbitnya matahari saya mengambil peluang untuk menghasilkan belacan," katanya.

Katanya, belacan yang dihasilkannya memerlukan jemuran di bawah cuaca panas dan pihaknya mampu menghasilkan lebih 1,000 belacan sehari, namun bergantung kepada keadaan cuaca.

Sementara itu, pekerjanya, Muzliadi Mohd, 48, berkata sekiranya cuaca panas, lebih 1,200 ketul belacan yang dihasilkan setiap hari perlu dikeringkan.

"Kaedah menjemur saja digunakan dan kebergantungan terhadap cuaca panas amat diperlukan bagi mengeringkan produk ini.

"Sekiranya cuaca panas pada musim MTL ini, jangka masa untuk menjemur juga panjang kerana panas tidak begitu maksimum.

"Kalau bernasib baik proses jemuran boleh diulang untuk keesokkannya bagi mengeringkan belacan yang dihasilkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 1:20 PM