TEMPOH menjemur ikan bergantung kepada keadaan saiz ikan dan keadaan cuaca.
TEMPOH menjemur ikan bergantung kepada keadaan saiz ikan dan keadaan cuaca.

Bagi kebanyakan orang, baunya kurang menyenangkan dan kalau boleh, mahu dihindarkan. Namun untuk lidah orang Melayu, ia biasanya dijadikan hidangan sampingan untuk menaikkan selera makan.

Walaupun berbau, ia sentiasa dicari. Ikan kering atau ikan masin sememangnya ada tarikan dan penggemar tersendiri apatah lagi jika ia mempunyai kualiti yang baik.

Kualiti inilah yang menjadi penentu kepada populariti ikan kering usahawan desa, Noriah Ghazali, 53, yang sentiasa mendapat permintaan menggalakkan bukan masyarakat setempat saja malah turut mempunyai pelanggan dari Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor dan Johor.

Noriah yang menjalankan perusahaan ikan kering di Kampung Pulau Lang Kiri, Rompin sejak lebih 20 tahun mengakui hakikat itu. Beliau sedar pelanggan kini mencari produk berkualiti dan tidak kisah walaupun harga yang dikenakan lebih tinggi berbanding produk keluaran pengusaha lain.

Beliau berkata, untuk menghasilkan ikan kering yang baik dan enak, aspek kebersihan dan kesegaran ikan perlu diberi perhatian bagi memastikan perniagaan yang dijalankan dapat bertahan lebih lama.

“Saya mendapatkan ikan segar terus daripada beberapa nelayan di kawasan Rompin, Nenasi, Pekan, Endau dan Mersing, Johor pada harga berpatutan yang dibeli secara borong.

“Ikan berkenaan perlu segera disiang dan dicuci sebelum menjalani proses merendam dalam air garam selama satu hingga dua malam mengikut jenis dan saiz ikan sebelum proses seterusnya dilakukan.

“Untuk menjamin kualiti ikan kering yang dihasil­kan saya sentiasa menjaga kebersihan air garam. Air garam hanya digunakan dua kali sahaja untuk merendam ikan kemudian selepas itu perlu dibuang.

“Air garam yang bersih dapat mengelak bau yang kurang menarik pada ikan kering dan rasanya juga lebih enak bila di masak. Ikan juga boleh disimpan lebih lama antara dua hingga lima bulan sekiranya peratus keringnya tinggi,” katanya. Bagi meringankan tugasnya dia mendapat bantuan suami Ramli Ya, 57, bekas tekong bot nelayan laut dalam.

Menurut ibu kepada tujuh anak itu lagi, proses me­nyiang dan membersihkan ikan talang hanya dilakukan suaminya yang lebih berkemahiran terutama untuk membelah bahagian belakang ikan berkenaan.

Katanya, pada musim ikan gelama, tamban dan selar kuning banyak, dia terpaksa menggunakan khidmat pekerja sambilan bagi membantu dia dan suami di bengkel. Jumlah ikan bergantung kepada musim selain perjanjian dengan nelayan.

Proses menjemur ikan perlu dilakukan segera bagi menjamin kualiti ikan kering yang dihasilkan.

Ikan dijemur antara sehari hingga tiga hari bergantung kepada saiz ikan dan keadaan cuaca.

“Bagi ikan talang yang mencapai berat antara 10 hingga 20 kilogram seekor, proses menjemur akan me­ngambil masa lebih panjang. Proses mengeringkan ikan menjadi lebih mudah pada musim panas.

“Proses menghasilkan ikan kering akan terbantut setiap tahun apabila musim tengkujuh datang, selain faktor cuaca lembap nelayan juga tidak dapat turun ke laut,” kata nenek kepada lima cucu itu.

Beliau yang berdaftar sebagai usahawan bimbingan Jabatan Perikanan berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk memasarkan ikan kering yang dihasilkan kerana kebanyakan pelanggan datang terus ke bengkelnya.

Ikan keringnya dijual pada harga antara RM12 hingga RM16 sekilogram bagi ikan tamban, gelama dan selar kuning. Harga ikan talang pula lebih mahal iaitu RM20 sekilogram dan semua ikan kering disimpan dalam peti sejuk sebelum dijual.

Menurutnya, terdapat pelanggan yang meminati ikan kering yang tidak terlalu kering dan ada juga yang inginkan ikan 95 hingga 100 peratus kering. Cara memasak ikan kering, terpulang kepada cita rasa individu, tetapi biasanya ia digoreng begitu saja manakala ikan talang enak dimasak gulai bersama nanas.

“Saya mampu menghasilkan 800 hingga 1,000 kilogram ikan kering sebulan bergantung kepada bekalan ikan. Kebiasaan ikan kering yang saya hasilkan tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan tempatan dan luar.

“Kebanyakan pelanggan akan menghubungi saya sebelum datang untuk mendapatkan ikan kering, ada untuk makan sendiri dan ramai juga yang membeli dalam kuantiti besar untuk majlis jamuan selain untuk dihadiahkan kepada rakan,” katanya.

Bagi Ramli selepas mengidap kanser usus enam tahun lalu dia mengambil keputusan tidak lagi ke laut sebaliknya membantu isterinya sepenuh masa dengan melakukan kerja menyiang ikan dan mendapatkan bekalan ikan.

“Hati saya sudah sebati dengan ikan...sebab itu saya tidak menghadapi masalah mengusahakan perusahaan bengkel ikan masih,” katanya bercadang untuk memperluaskan perniagaan yang dijalankan. - Mohd Rafi Mamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 12:37 PM