MOHD Taufet menjemur belacan dalam musim cuaca panas dan kering melanda ketika ini.
MOHD Taufet menjemur belacan dalam musim cuaca panas dan kering melanda ketika ini.

Kuala Nerus: “Sejak negara dilanda cuaca panas saya hanya memerlukan tempoh tujuh jam untuk menjemur dan mengeringkan 600 keping belacan berbanding 16 jam sebelum ini,” kata Muhamad Aimy Shari Mat Ali, 15, pengusaha belacan di Kampung Seberang Takir, di sini.

Menurutnya, proses menjemur belacan menjadi semakin singkat dan jumlah pengeluaran juga bertambah kerana masa dapat dipendekkan.

Katanya, cuaca pada Mac dan April amat panas dan kering ia sesuai untuk kerja menjemur belacan kerana mengambil masa singkat berbanding bulan lain.

“Ketika bulan lain proses mengeringkan belacan mengambil masa 16 jam iaitu bermula jam 8 pagi hingga 4 petang sebelum proses sama diulang keesokan harinya.

“Namun, hanya tujuh jam masa diambil ketika ini dan perbezaan itu amat ketara dan membolehkan pengeluaran ditingkatkan berbanding bulan biasa,” katanya.

Menurutnya, permintaan terhadap produk itu amat tinggi dan setiap hari dia akan membekalkan 500 keping belacan ke pasar di sekitar Kuala Terengganu tetapi halangan utama adalah cuaca yang membantutkan proses pengeringan belacan.

Katanya, faktor cuaca amat mempengaruhi hasil pengeluaran kerana apabila keadaan tidak panas hanya 400 keping belacan mampu dijemur dalam keadaan berulang kali.

“Fenomena El-Nino tidak ubah seperti bonus kepada saya kerana mampu memendekkan masa kerja dan meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan.

“Kitaran alam ciptaan Tuhan ini sememangnya adil kerana ditetapkan untuk memberi manfaat kepada seluruh manusia,” katanya.

Pekerja di tempat perusahaan itu, Mohd Taufet Sulong, 43, berkata, cuaca panas sememangnya satu kelebihan dalam industri penghasilan belacan.

“Proses menjadi semakin singkat dan pengeluaran dapat ditingkatkan berikutan permintaan yang semakin tinggi. Peluang berdepan cuaca panas harus dimanfaat sebaiknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 8:43 AM