Muhammad Aimy (kanan) menjemur belacan di kawasan lapang di kilang pembuatan belacannya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Muhammad Aimy (kanan) menjemur belacan di kawasan lapang di kilang pembuatan belacannya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


CUACA panas yang melanda negara kebelakangan ini mungkin membataskan masyarakat dalam menjalankan aktiviti luar namun tidak bagi pengusaha belacan yang menganggap ia rahmat kerana berpeluang menghasilkan lebih banyak belacan.

Tinjauan ke perkampungan nelayan di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir, Kuala Nerus mendapati dua pengusaha belacan di kampung itu giat menjemur belacan seawal jam 8 pagi.

Muhammad Aimy Shahri Mat Ali, 18, berkata, kebiasaannya dia hanya mengeluarkan 700 keping belacan untuk dijemur setiap hari tetapi cuaca panas yang melanda negara ketika ini membolehkannya mengeluarkan 1,000 keping belacan untuk dijemur.

“Cuaca panas yang berbeza daripada biasa ini tidak menjadi masalah kepada kami malah ia seperti rahmat dan membantu kami mengeluarkan lebih banyak belacan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Berat setiap keping belacan adalah 350 gram menyebabkan ia memerlukan masa lama untuk kering sebelum dijual kepada pelanggan.

“Kebiasaannya, ia memerlukan masa sembilan jam, dari 8 pagi hingga 4 petang untuk mengeringkan belacan namun dengan cuaca ketika ini, kami hanya memerlukan masa enam jam saja,” katanya ditemui di Kilang Pembuatan Belacan Sri Tanjung Mas hari ini.

Muhammad Aimy Shahri berkata, dia tidak bimbang menambah jumlah pengeluaran belacan sepanjang musim kemarau ini kerana yakin ia boleh dikeringkan dengan baik.

“Jika ia tidak dijemur dengan baik, belacan tidak tahan lama malah cepat rosak sekali gus tidak menepati kehendak pelanggan.

“Saya meminta pekerja menambah jumlah pengeluaran belacan jika cuaca panas berbanding hanya sekitar 700 keping dan ke bawah pada waktu biasa.

“Cuaca panas terik menghasilkan belacan berkualiti selain tahan lebih lama dan menepati cita rasa pelanggan,” katanya.

Menurutnya, dia mewarisi perusahaan yang dijalankan arwah bapanya sejak 2017 dan sehingga kini permintaan belacan sangat menggalakkan terutama untuk pasaran dalam negeri.

“Belacan yang dihasilkan dijual dengan harga RM4 sekeping untuk pasaran dalam negeri dan biasanya ia dibeli secara pukal oleh pembekal sebelum dijual secara runcit,” katanya.

Pengusaha belacan lain, Maleha Harun, 53, berkata, dia menjemur belacan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang setiap hari dan kekal berbuat begitu biar pun panas terik atau sebaliknya.

“Cuaca panas memang penting untuk perusahaan belacan dan jika cuaca baik, saya mengeluarkan 100 kilogram belacan sehari.

“Saya perlu pastikan belacan yang dihasilkan dijemur sekurang-kurangnya dua hari berturut-turut bagi menjamin kualitinya,” katanya.

Menurutnya, dia mengakui belacan kering dengan baik sekiranya dijemur dalam tempoh enam hingga sembilan jam ketika musim panas terik namun dia tetap menggunakan caranya tersendiri.

“Hanya ketika musim panas kami boleh menjalankan kegiatan ini dan cuaca panas adalah peluang terbaik untuk kami menghasilkan lebih banyak belacan,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan belacan lebih 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 8:30 PM