Nur Izzati Mohamad


Batu Kawan: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan memuktamadkan segala isu termasuk agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam satu mesyuarat yang diadakan petang ini.

Pengerusi PH negeri Chow Kon Yeow berkata, selepas memperoleh keputusan mesyuarat hari ini, satu perbincangan akan diadakan dengan Barisan Nasional (BN) minggu hadapan.

"Kita akan adakan mesyuarat petang ini dengan harapan dapat memuktamadkan keputusan bagi PH sebelum ia dibawa untuk rundingan dengan BN dan Umno.

"Muktamad dari segi apa, ia adalah berkenaan kerusi apa yang kita mahu tanding dan isu lain yang dibangkitkan," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Taman Tangling, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai perkembangan rundingan antara PH dan BN.

Ditanya sama ada parti komponen BN akan turut serta dalam rundingan itu, Chow berkata, beliau difahamkan ada yang akan hadir berdasarkan senarai yang dikemukakan kepada pihak PH.

"Sebenarnya (kehadiran parti komponen BN) perlu diuruskan parti itu sendiri tetapi dari senarai yang dikemukakan rombongan Umno itu ada pemimpin BN.

Media sebelum ini melaporkan Chow yang juga Ketua Menteri berkata, perjumpaan PH hanya akan berlangsung dengan pemimpin Umno, bukannya dengan parti komponen BN lain.

PRN kali ini membabitkan enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan dan Terengganu yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada PRU-14 lalu, PH memenangi 37 kerusi, termasuk kerusi DUN daripada calon Bersatu yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada PH.

Sementara, BN pula hanya menang dua kerusi DUN iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan manakala PAS mempunyai satu kerusi iaitu Penaga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 5:18 PM