Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini meluluskan usul pengisyitiharaan kekosongan empat kerusi yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU mengikut Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Speaker, Datuk Law Choo Kiang mengesahkan keputusan itu dicapai selepas selesai sesi perbahasan dengan sokongan majoriti ADUN.

ADUN dan kerusi terbabit adalah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).

"Dewan ini mengambil maklum mengenai usul di bawah Fasal (5) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bahawa satu kekosongan luar jangka tidak boleh diisi memandangkan DUN Pulau Pinang akan terbubar dalam tempoh kurang daripada dua tahun," katanya selepas penggulungan usul tersebut pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima DUN ke-14 itu.

Beliau turut meminta semua empat ADUN terbabit mengosongkan kerusi dan meninggalkan dewan selepas pengumuman itu dibuat.

Terdahulu Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mengemukakan usul berkenaan dengan sesi perbahasan usul berlangsung kira-kira empat jam.

Ahmad Zakiyuddin (PH-Pinang Tunggal) berkata, usul itu dibangkitkan berikutan kegagalan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili BERSATU terbabit untuk mengosongkan kerusi mereka di bawah Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Pada sesi perbahasan Khaliq Mehtab (BERSATU-Bertam) berkata, kerajaan negeri seolah-olah tidak sabar menyingkirkan mereka berempat sedangkan semua wakil rakyat PH bertanding menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"PH bukan parti ia adalah gabungan parti dan belum didaftarkan ketika itu. Dalam perlembagaan parti saya tidak pernah ada kad keahlian PH. Saya cuma ada kad keahlian BERSATU. Ahli PKR, DAP, UMNO juga saya percaya tiada kad keahlian PH.

"Saya bercakap mengenai keahlian jadi mana letaknya isu (ADUN) Bertam, Telok Bahang melompat parti mengarut sama sekali takkan tak sokong kerajan negeri dikira melompat parti.

"ADUN Seberang Jaya dan Acheh mereka dipecat PKR jadi definisi melompat parti tidak terpakai Perkara 14A (1) ini telah diwujudkan mengikut keperluan politik tertentu untuk menghukum parti yang telah berubah.

"Lagipun DUN dijangka akan dibubar pada Jun jadi apa yang kalut sangat hendak buang kami berempat. Terbuangnya kami dalam DUN ini akan menjadi sejarah hitam Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, soal kerajaan negeri tidak sabar mengemukakan usul tersebut tidak seharusnya timbul kerana DUN menunggu hampir dua tahun kerana menghormati proses rayuan kes tersebut pada peringkat mahkamah.

ADUN Bersatu (dari kiri) Zolkifly, Afif, Zulkifli dan Khaliq Mehtab meninggalkan sidang DUN Pulau Pinang selepas usul supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing diluluskan. FOTO Mikail Ong
ADUN Bersatu (dari kiri) Zolkifly, Afif, Zulkifli dan Khaliq Mehtab meninggalkan sidang DUN Pulau Pinang selepas usul supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing diluluskan. FOTO Mikail Ong

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 2:18 PM