Ismail Sabri (kiri) dan Lokman (kanan) beramah mesra bersama warga emas Mohd Kawiah Mat Liat ketika Program Ziarah Kasih di Kampung Datuk Dagang Klang. FOTO Roslin Mat Tahir
Ismail Sabri (kiri) dan Lokman (kanan) beramah mesra bersama warga emas Mohd Kawiah Mat Liat ketika Program Ziarah Kasih di Kampung Datuk Dagang Klang. FOTO Roslin Mat Tahir
Mohd Azrone Sarabatin

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak dakwaan majoriti Ketua UMNO Bahagian di Selangor tidak bersetuju pelantikannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu.

Sebaliknya, katanya, semua 22 ketua bahagian menyuarakan sokongan kepada beliau dalam mesyuarat pertama selepas dilantik memegang jawatan itu, baru-baru ini.

Beliau berkata isu itu sengaja dibangkitkan parti lawan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

“Semua ketua bahagian hadir dan tidak timbul mereka menolak pelantikan saya. Saya percaya UMNO Selangor ketika ini kembali kuat dan bersatu,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan dari rumah ke rumah di Kampung Dato’ Dagang, di Klang hari ini.

Turut hadir, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Media sebelum ini melaporkan sumber yang juga seorang Ketua UMNO Bahagian berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya memanggil semua 22 ketua bahagian untuk berbincang serta meminta pendapat sebelum membuat keputusan pelantikan Ismail Sabri.

Mengenai kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, parti itu tidak memberi arahan untuk turun berkempen bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tewas pada PRK Sungai Kandis, Ismail Sabri berkata mereka tidak perlu turun membantu kempen kerana semua ahli faham mereka perlu mengundi BN.

Ini kerana katanya, slogan digunakan PAS iaitu ‘Asal Bukan PH’ sama dengan BN yang berjuang menewaskan PH.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, sebelum ini pun ada program PAS di Sungai Kandis yang turut dihadiri Lokman yang dengan sendirinya membuktikan ahli parti itu menyokong BN.

“Malah Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dan Ahli Majlis Syura PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali secara terang-terang mahu PH ditewaskan dalam PRK DUN Sungai Kandis,” katanya.

Mengenai keputusan Kementerian Pendidikan membatalkan langganan akhbar Utusan Malaysia, Ismail Sabri berkata, ia membuktikan kerajaan tidak mengamalkan kebebasan media dan tidak demokrasi.

“Apa yang mereka takutkan, sepatutnya langganan diteruskan kerana akhbar berkenaan atau Berita Harian, The Star dan sebagainya turut menjadi suara rakyat,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis membabitkan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; Datuk Lokman Noor Adam (BN) dan K Murthy.

Kerusi berkenaan kosong selepas kematian wakil rakyatnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 9:17 PM