Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang masih belum mengadakan rundingan berkaitan pengagihan kerusi bersama Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

Pengerusi PH negeri, Chow Kon Yeow berkata, ketika ini PH sedang memuktamadkan kedudukan gabungan parti itu sebelum bersiap sedia mengadakan rundingan dengan BN.

Katanya, keputusan selalunya dapat dibuat pada tempoh terakhir selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atau sebelum tarikh penamaan calon.

"Sebenarnya kita diberi masa satu bulan (perbincangan pengagihan kerusi dengan BN) dan sekarang sudah masuk minggu kedua.

"Perbincangan sebelum ini memang berlaku (secara tidak rasmi) tetapi niat kita sekarang adalah untuk memuktamadkan kedudukan sebelum kita bawa untuk berunding dengan BN.

"Tetapi dalam pilihan raya kadang kala keputusan cuma boleh dibuat pada tempoh terakhir selepas bubar atau sebelum tarikh penamaan calon yang ketika itulah semua perkara dimuktamadkan," katanya ketika diminta mengulas berhubung perkembangan rundingan pengagihan kerusi antara PH dan BN bagi menghadapi PRN Pulau Pinang.

KON Yeow ditemui media ketika hadir pada majlis Kempen Derma Darah di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng. FOTO Danial Saad
KON Yeow ditemui media ketika hadir pada majlis Kempen Derma Darah di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng. FOTO Danial Saad

Terdahulu Kon Yeow yang juga Ketua Menteri ditemui semasa merasmikan Kempen Derma Darah di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng, Prai, di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, satu mesyuarat berhubung kerjasama PH dan BN sepatutnya sudah diadakan minggu lalu namun tertangguh memandangkan ada agenda yang lebih mendesak.

Berikutan itu, katanya, mesyuarat akan ditetapkan pada satu tarikh baru kelak.

"Kita menerima pembentangan kajian untuk melihat sentimen pengundi terhadap kerajaan Pulau Pinang dan PH. Oleh itu, adalah penting kita memuktamadkan kedudukan sebelum mengadakan rundingan," katanya.

Ditanya berhubung kenyataan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memberitahu PH dan BN bersetuju semua kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Kon Yeow berkata, ia adalah prinsip umum sebelum rundingan bermula.

"Memang dalam PH sudah ada formula ini iaitu kerusi kekal dengan penyandang melainkan ada yang nak tukar, itu tertakluk kepada parti-parti berkenaan

"Prinsip ini masih dipegang dan apabila masuknya rundingan dengan BN yang menjadi rakan dalam Kerajaan Perpaduan, maka prinsip ini adalah dengan BN, bukan dengan parti masing-masing.

"Apa yang dinyatakan (Datuk Seri Saifuddin) adalah prinsip umum untuk diikuti apabila rundingan bermula," katanya.

Untuk rekod, PH memenangi 33 kerusi DUN pada PRU-14 lalu, manakala BN hanya memenangi dua kerusi iaitu DUN Sungai Dua dan Permatang Berangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 2:24 PM