DR Amalina berkongsi gambar selepas majlis aqiqah cahaya mata sulungnya, Arabella Mia di IG. FOTO Ihsan IG Dr Amalina Che Bakri
DR Amalina berkongsi gambar selepas majlis aqiqah cahaya mata sulungnya, Arabella Mia di IG. FOTO Ihsan IG Dr Amalina Che Bakri
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pakar bedah kelahiran Malaysia yang berkhidmat di London, United Kingdom (UK), Dr Amalina Che Bakri mengadakan majlis aqiqah untuk cahaya mata sulungnya, Arabella Mia semalam.

Dr Amalina berkongsi perihal itu menerusi hantaran dimuat naiknya di Instagram (IG), hari ini.

Menerusi hantaran sama, Dr Amalina turut memuat naik bersama gambarnya memakai persalinan dan selendang berwarna hijau memangku Arabella Mia.

"Alhamdulillah, kami berkesempatan melakukan Aqiqah untuk puteri cantik kami, Arabella Mia semalam," tulisnya ringkas pada kapsyen di IG.

Terdahulu, Dr Amalina dikhabarkan pulang ke tanah air bersama suami, Alexander Charles dan anak mereka, Arabella Mia untuk meraikan Aidilfitri di rumah keluarganya di Ulu Tiram, Johor.

Dr Amalina juga tidak melepaskan peluang berjalan di bandar Melaka dan berkongsi gambar berdua dengan anaknya ketika di kota bersejarah menerusi hantaran di IG.

Menurut rekod, Dr Amalina mendirikan rumah tangga bersama jejaka Inggeris, Alexander Charles dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Masjid Central London, UK pada 31 Mac, tahun lalu.

Beliau adalah pelajar cemerlang yang pernah mencatat sejarah dengan kejayaan meraih 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 10:11 PM