YORO dibeli United dengan harga RM315 juta. FOTO AFP
YORO dibeli United dengan harga RM315 juta. FOTO AFP
AFP

London: Manchester United membeli pertahanan Perancis Leny Yoro dari Lille, menurut pengumuman kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu awal pagi tadi.

United berkata mereka menandatangani pemain berusia 18 tahun itu sehingga Jun 2029. Media British melaporkan United membayar Lille 62 juta euro (RM315 juta) dan 8 juta euro (RM40 juta) lagi tambahan lain sekali gus pertahanan kedua termahal dalam sejarah kelab selepas Harry Maguire yang dibeli dengan harga £80 juta (RM484 juta) pada 2019.

"Beraksi bersama kelab yang mempunyai visi besar seperti Manchester United dalam karier awal saya adalah satu penghormatan," kata Yoro dalam laman web Manchester United.

Yoro beraksi kali pertama sebagai pemain profesional untuk Lille pada Mei 2022 dan kemudiannya tampil 46 perlawanan Ligue 1 bersama kelab itu.

"Leny antara pertahanan muda paling seronok disaksikan dalam bola sepak dunia. Dia mempunyai semua karakter untuk menjadi pertahanan tengah berkelas dunia," kata Dan Ashworth, Pengarah Sukan Manchester United.

Presiden Lille Olivier Letang berkata, dia bangga dengan Yoro.

"Kami sedih budak ini meninggalkan kelab," kata Letang dalam laman web Lille. "Tetapi pada masa sama kami juga gembira dan bangga apabila mereka yang hadir di sini pada usia sangat muda menjadi lelaki dan beraksi pada tahap tertinggi."

Dalam perkembangan lain, penyerang United Mason Greenwood menyertai Olympique de Marseille dengan kontrak lima tahun.

Media British melaporkan kelab Ligue 1 itu membayar United sehingga 31.6 juta euro (RM160 juta) untuk mendapatkan khidmat pemain akademi produk United itu.

Greenwood tampil 129 perlawanan dan menjaringkan 35 gol untuk Red Devils selepas beraksi kali pertama pada 2019.

Dia menghabiskan musim lalu bersama Getafe di Sepanyol selepas United berkata mereka mahu mengelakkan gangguan walaupun semua tuduhan jenayah termasuk rogol dan serangan yang dinafikannya telah pun digugurkan.

Pemain sayap itu meledak 10 gol dalam 36 perlawanan di Getafe yang menduduki tangga ke-12 LaLiga musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 12:19 PM