Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjung Malim: Sepasukan lima anggota Unit Skuba Forensik Bukit Aman dilihat tiba di Sungai Trolak Kampung Batu, di sini, bagi meneruskan pencarian bahan bukti kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, hari ini.

Mereka tiba di lokasi pada jam 11.15 pagi dengan menaiki dua kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Tinjauan mendapati keadaan air di Sungai Trolak deras, selain warnanya keruh dipercayai hujan awal pagi tadi.

Pada masa sama, lebih 10 petugas media mula berkumpul di lokasi kejadian pada 9 pagi.

Semalam, media melaporkan beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini, 25 ditemui ketika operasi pencarian bahan bukti dilakukan.

NUR Farah Kartini. FOTO IHSAN Polis
NUR Farah Kartini. FOTO IHSAN Polis

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan berhubung penemuan bahan bukti itu.

Hussein berkata, operasi itu bagi mencari bahan bukti dipercayai barangan peribadi milik mangsa.

Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.

Susulan itu, lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis ditahan pada hari sama.

Suspek direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

KEADAAN di sekitar Sungai Trolak Kampung Batu. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
KEADAAN di sekitar Sungai Trolak Kampung Batu. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 12:11 PM